PULAU PINANG 9 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua bot nelayan tempatan bersama 10 kru warga asing, dengan 900 kilogram hasil tangkapan ikan di perairan negeri, semalam kerana melanggar syarat sah lesen dan tiada permit sah.
BH melaporkan, bot kelas B1 dan C itu masing-masing ditahan pada kedudukan 14 batu nautika dan 15.5 batu nautika barat daya Pulau Kendi, di sini, pada jam 2.40 petang.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed, berkata penahanan itu dilakukan dalam operasi Op Tiris dan Op Pertiwi di perairan itu.
“Bot pertama dikendali seramai lima kru warga Myanmar bersama hasil laut sebanyak kira-kira 400 kg ikan, manakala bot kedua, juga dikendali lima kru warga Myanmar dengan muatan ikan sebanyak 500 kg.
“Semua kru yang ditahan berusia antara 26 tahun dan 58 tahun, gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri. Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru asing tanpa kebenaran dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki permit yang sah.
“Semua kru, bot dan hasil tangkapan ikan 900 kg yang dirampas dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.
Beliau juga meminta orang ramai untuk melaporkan sebarang aduan, salah laku dan kecemasan di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-262 6146 atau MERS 999 bagi tindakan segera. – nasionalkini.my