Oleh Embun Zahra
KUALA LUMPUR, 9 Mei – Muslim Care Malaysia (MCM) menggerakkan misi bantuan kemanusiaan kali keempat kepada mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria.
Misi bantuan kali ini lebih istimewa apabila turut disertai pendakwah wanita popular, Ustazah Asma’ Harun..
Malah, kerjasama kali pertama antara MCM dengan Ustazah Asma’ yang juga Penaung kepada dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Yayasan Al Hijrah dan Sahabat Amal Care turut disertai enam sukarelawan.

Timbalan Presiden MCM, Haji Mohd Johari Ismail yang mengetuai misi berkata, turut serta ialah Pengerusi Sahabat Amal Care dan Timbalan Pengerusi Yayasan Al Hijrah, Tengku Fazli Tengku Yahya yang juga merupakan suami Ustazah Asma’, Tengku Fazli Tengku Yahya serta empat petugas daripada dua NGO berkenaan.
Rombongan berkenaan telah berlepas ke Turkiye dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2 pagi, Selasa, 9 Mei 2023 dan dijangka pulang ke tanah air pada 15 Mei ini.
“Untuk misi 4.0 ini, pada awalnya kami merancang untuk ke Syria namun wakil MCM di Turkiye memberitahu kebenaran memasuki Syria melalui Turkiye dibekukan buat sementara waktu dan akan dibuka selepas Turkiye selasai mengadakan pilihan raya, bulan ini.
“jadi, kami terpaksa ditukar dengan memberi tumpuan kepada mangsa gempa bumi membabitkan pelarian Syria yang berada di Turkiye khususnya di Antakya, Kahramanmaras dan Iskenderun,” katanya.
Kongsinya, sejumlah RM200,000 diperuntukkan oleh MCM, Yayasan Al Hijrah dan Sahabat Amal Care untuk misi bantuan 4.0 ini membabitkan pengagihan pek makanan, pakaian dan memperbaiki kerosakan rumah beberapa mangsa gempa yang dikenal pasti.
Sementara itu, Ustazah Asma’ berkata, sudah lama menyimpan hasrat untuk ke Syria bagi membantu rakyat negara itu selepas dilanda gempa bumi yang dahsyat selain menderita akibat peperangan yang berpanjangan.
Pihaknya memilih MCM sebagai rakan kerjasama untuk merealisasikan impiannya menghantar bantuan ke Syria kerana yakin dengan integriti dan pengalaman luas MCM dalam misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa. – nasionalkini.my