KANDAHAR, 10 Mei – Tiga beradik terbunuh apabila sebutir peluru mortar meletup di wilayah Kandahar, selatan Afghanistan, semalam.
Peluru mortar dipercayai peninggalan peperangan lalu itu dilaporkan dijumpai kanak-kanak terbabit di kawasan Haji Aziz pada petang hari kejadian.
Xinhua hari ini melaporkan jurucakap polis wilayah itu, Hafiz Saber, berkata tiga beradik terbabit dipercayai bermain dengan peluru mortar itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, peluru mortar itu meletup secara tiba-tiba dan meragut nyawa mereka di tempat kejadian.
Minggu lalu, kemalangan serupa turut mengorbankan seorang lelaki di wilayah Logar, timur Afghanistan. – nasionalkini.my