in

Tolong bantu ‘hidupkan’ Rumah Persekutuan Melayu Kluang

WhatsApp Image 2023 07 09 at 8.58.01 PM
Keadaan terkini Rumah Persekutuan Melayu Kluang yang terbiar.

Oleh Luth Adwa

KLUANG, 9 Julai – Ketiadaan dana menyebabkan Rumah Persekutuan Melayu Kluang di sini sepi tanpa sebarang aktiviti kerana tidak dapat dimanfaatkan lebih 1,000 ah­linya.

Setelah diwujudkan lebih 20 tahun lalu, rumah tersebut seakan-akan ‘ditinggalkan’ dan tidak mustahil jika terus dibiarkan begitu sahaja, ia boleh reput dimakan anai-anai.

Lama kelamaan rumah yang sepatutnya digunakan sebagai tempat berkumpul orang Melayu itu boleh roboh dan hanya tinggal kenangan.

Yang Dipertua Rumah Persekutuan Melayu Kluang, Ramli Karim berkata, tiada kutipan bulanan dibuat daripada ahlinya yang ada hanya yuran penyertaan sekali seumur hidup.

“Kami tidak mahu menyusahkan ahli dan hanya mengharapkan bantuan daripada pihak tertentu jika ingin membuat sebarang program.

“Di rumah ini pernah disediakan beberapa kemudahan permainan dalaman hasil sumbangan ahli, namun sudah rosak kerana tiada dana untuk menyelenggaranya,” katanya.

Ramli menambah, dalam kawasan rumah itu terdapat beberapa buah gerai makan yang beroperasi dan hanya dikenakan yuran rendah.

“Kita tidak mahu peniaga terbeban dan cukup sekadar untuk bayaran bil utiliti seperti air dan elektrik,” katanya.

Beliau berharap ada pihak yang membantu ‘menghidupkan’ rumah itu yang peranannya cukup besar bagi merapatkan hubungan masyarakat Melayu di daerah ini.

“Kami yakin lebih ramai orang Melayu, khususnya golongan muda berkumpul dan memanfaatkan rumah ini sekiranya ada pelbagai kemudahan dapat disediakan,” katanya. -nasionalkini.my

wany anak

Wany Hasrita kini bergelar ibu, timang anak perempuan

WhatsApp Image 2023 07 09 at 10.21.48 PM

Amirudin terbuka terima teguran Zaharin