KUALA LUMPUR, 9 Julai – Penyanyi Terlalu Memuja, Wany Hasrita berkongsi detik bahagia dirinya apabila selamat bersalin seorang anak perempuan dan kini bergelar ibu.
Penyanyi berusia 30 tahun itu menerusi hantaran di Instagram miliknya berkata, dia selamat bersalin secara normal pada 7,14 petang, semalam, 8 Julai 2023.
“Alhamdulillah, saya telah selamat melahirkan puteri kami pada hari Sabtu, 7.14 petang secara normal.
“Terima kasih pada semua yang mendoakan kami,” tulisnya di ruangan kapsyen bersama foto pertama bayinya yang sedang menggenggam tangan.

Penyanyi yang cukup dikenali dengan lagu Menahan Rindu itu turut menitipkan doa dan harapan agar cahaya matanya itu menjadi anak solehah dan pengikat kasih sayangnya bersama suami.
“Anak ibu semoga jadi anak solehah penyejuk mata, penenang jiwa, pengerat cinta ibu dan bapak.
“Membesar dengan sihat dan jadilah orang yang memberi manfaat pada yang lain kelak,” ujarnya.

Wany mendirikan rumah tangga dengan suami yang juga merupakan seorang juruterbang, Muhd Al-Adib Fahmi Harun, 31, pada 22 Julai 2022.
Namun, pasangan itu terpaksa menjalani kehidupan suami isteri secara berjauhan selepas suaminya bertugas di Kuching, Sarawak manakala Wany pula berada di Kuala Lumpur.