in

‘Superhero’ sampah di dasar laut

WhatsApp Image 2023 07 19 at 8.28.39 PM 1
Mohd Noor Hamdi (kanan) dan penyelam profesional dasar laut sebelum melakukan tugas sukarelawan mengutip pukat hanyut yang tersangkut pada terumbu karang di dasar laut Taman Laut Melaka, Pulau Undan

Oleh Yusuf Shafie 

MELAKA, 19 Julai – Sekumpulan penyelam skuba profesional ini mungkin layak digelar ‘superhero’ apabila sanggup menjadi sukarelawan mengutip sampah khususnya pukat hanyut di dasar laut.

Itu pengorbanan dilakukan kakitangan kerajaan, Suraya Sulaiman, 48, dan jurulatih selam skuba, Mohd Noor Hamdi Abdul Azim, 47, apabila sanggup merisikokan nyawa sendiri demi melakukan tugas itu secara percuma sejak 13 tahun lalu.

Bagi Suraya yang mula aktif dalam usaha itu pada 2010,  dia terpanggil untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan juga pemeliharaan biodiversiti karangan laut itu bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan generasi muda hari ini.

“Masih ramai rakyat negara ini tidak sedar bahan daripada plastik yang dibuang walaupun di bandar, ia akhirnya akan memasuki longkang, sungai dan berakhir di laut sekali gus memberi ancaman besar kepada hidupan laut.

WhatsApp Image 2023 07 19 at 8.33.38 PM 1
Suraya Sulaiman merasakan terpanggil untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan juga pemeliharaan biodiversiti karangan laut

“Sebab itu, menjaga kebersihan laut ini termasuk membersihkan habitat hidupan di kawasan terumbu karang daripada terus diselaputi pukat hantu amat penting kerana laut adalah sumber pemakanan harian kita yang terbesar,” katanya ketika ditemui di Pulau Undan di sini hari ini.

Pandangan sama dikongsi Mohd Noor Hamdi, 47, walaupun terpaksa meletakkan nyawa sebagai taruhan apabila berdepan cabaran membersihkan pukat hanyut pada terumbu karang di kawasan arus kuat dasar laut.

WhatsApp Image 2023 07 19 at 8.34.43 PM 1
Usaha menjaga kebersihan laut termasuk membersihkan habitat hidupan di kawasan terumbu karang daripada terus diselaputi pukat hantu penting kerana laut adalah sumber pemakanan harian negara yang terbesar.

“Bukan semua perairan itu tenang seperti di Pulau Undan ini, arus di bawahnya lebih kuat berbanding tempat lain dan jika kita tidak berhati-hati boleh terperangkap di dalam jaring pukat.

“Namun, ia memberi kepuasan tersendiri apabila kita dapat menyelamatkan karang-karang ini daripada ia mati seterusnya merosakan ekosistem hidupan laut untuk tatapan generasi hadapan,” katanya.

Sehubungan itu, mereka berharap lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) tampil menganjurkan program pembersihan dasar laut yang disifatkan terlalu kecil jumlahnya ketika ini. – nasionalkini.my

WhatsApp Image 2023 07 19 at 7.34.32 PM

Wan  Junaidi Wan Jaafar Tokoh Dakwah  Maal Hijrah peringkat negeri Terengganu

rompak

Suami subahat rompak isteri demi tuntut insuran akhirnya diberkas polis