Oleh Ahmad Abd Hamid
JATUH setelah berada di puncak amat sukar diterima, malah menyiksa jiwa. Inilah bebanan rasa yang ditanggung oleh mendiang Rajesh Khanna, aktor Bollywood yang dianggap superstar pertama dalam dunia perfileman Hindi.
Lebih tiga tahun berada di puncak menjadi rebutan pengarah serta membintangi filem-filem box-office sehingga menjadi pujaan seluruh dunia, bintang filem pecah panggung ‘Haathi Mere Saathi’ (1971) itu bagai ‘bingung’.
Dia tidak percaya kehebatannya menjunam, membawa bersamanya jatuh daripada kedudukan superstar yang lama dikecapi. Ini berlaku sekitar akhir tahun 60-an dan awal 70-an.
Ketika itu muncul bintang baru di Bollywood, Amitab Bachchan, yang pernah bersama-sama berganding dengan Rajesh dalam filem ‘Anand’ (1971).
Amitab kemudian mencipta nama melalui filem tersebut dan perlahan-lahan meniti tangga kejayaan sehingga menggugat kedudukan Rajesh.
Rajesh sendiri tidak menduga bintang baru yang bergandingan dengannya akan menenggelamkan sinarnya di persada bintang. Namun itulah yang terjadi, akhirnya mahkota superstar Rajesh Khanna terlepas kepada Amitab.
Rajesh Khanna tidak lagi menjadi pilihan produser atau pengarah untuk menjadi hero filem mereka. Sebaliknya Amitab menyerlah dan telah banyak filem box-office seperti Kabhie Kabhie, Trishul, Kaala Pattar, Sholay, Muqaddar Ka Sikandar, Naseeb, Mohabbatein, Deewar dan lain-lain.
Rajesh Khanna sukar menerima hakikat kejatuhannya. Menurut Prem Chopra, pelakon watak jahat yang juga rakan Rajesh, bekas superstar itu tidak dapat menyesuaikan diri dengan kedudukannya yang bukan lagi berada di puncak.
Memetik wawancaranya dengan The Indian Express, Prem, yang berlakon bersama Rajesh dalam 19 buah filem, memberitahu dia (Rajesh) masih beranggapan dirinya tetap hebat. Kerana itu dia enggan menerima tawaran peranan selain daripada hero.
Dia tidak mahu menjadi sekadar pelakon pembantu atau pelakon watak sedangkan produser dan pengarah tidak melihat dia sebagai elemen hero lagi. Keengganan ini menyebabkan kehadiran Rajesh di layar perak semakin suram sedangkan Amitab Bachchan terus bersinar.
Bagi Prem, berlakon bersama Rajesh adalah satu pengalaman hebat. Ketika itu produser dan pengarah berbaris untuk menawarkan Rajesh kontrak berlakon.
Dia membintangi sekurang-kurangnya 15 filem pecah panggung sebagai hero antara tahun 1969 hingga 1971. Inilah yang meletakkan dirinya sebagai superstar.
Dalam industri filem, kemampuan menyesuaikan diri dengan keadaan sangat penting. Apabila sudah tidak lagi dipilih sebagai hero, bersedialah menerima tawaran sebagai pembantu.
Jika usia sudah meningkat, bersedialah memegang peranan sebagai bapa, ibu dan sebagainya.
Namun ini gagal direalisasi oleh Rajesh. Impak kejatuhan sangat mendalam dalam dirinya.
Kerana itu dalam kalangan industri menyifatkan Rajesh sebagai insan yang sukar difahami, beremosi dan bermasalah walaupun pada asasnya dia seorang yang baik. – nasionalkini.my