Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 1 Jun – Seorang penganggur didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini, atas kesalahan memiliki barang curi termasuk tiga telefon bimbit pelbagai jenama, bulan lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Mior Mahamad Rizuan Mior Ahmad, 40, yang membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati ada dalam milikannya tiga telefon bimbit curi jenama Oppo, Vivo dan Huawei milik pekerja kontrak pembinaan warga asing bernama Atazul yang dilaporkan hilang membabitkan kerugian RM2,000.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Tapak Pembinaan Rumah Lot PT, Mukim Lintang, di sini kira-kira pukul 7.30 pagi. 25 Mei lalu.
Sabit kesalahan boleh dipenjara antara enam hingga lima tahun dan denda mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Mengikut fakta kes, Atazul dan rakan sekerjanya yang sedang tidur di sebuah rumah di tapak pembinaan terjaga setelah terdengar bunyi bising kira-kira pukul 3 pagi.
Pengadu kemudian ternampak seorang lelaki tidak dikenali masuk ke rumah itu dan mengambil barang peribadi miliknya dan rakan berupa tiga telefon bimbit serta wang tunai RM1,000.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan masyarakat.
Tertuduh dalam rayuannya bagaimanapun memohon hukuman ringan kerana perlu menjaga ibu yang sakit selain sudah insaf atas perbuatannya itu.
Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Sharda mengarahkan tertuduh membayar denda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar. – nasionalkini.my