OLEH: AD Zafir
KUANTAN, 1 Jun – Cubaan sindiket penyeludupan rokok putih dengan nilai keseluruhan RM1.7 juta, berjaya dipatahkan lagi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang dalam satu serbuan, 23 Mei lalu.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, pihaknya telah menahan seoramg pemandu lori yang merupakan lelaki tempatan berusia 36 tahun.
Menurutnya, tangkapan tersebut hasil penahanan sebuah motolori lima tan di perkarangan stesen minyak di Felda Neram 1, Kemaman, Terengganu kira-kira pukul 1.30 petang.
“Motolori yang ditahan dipercayai dalam perjalanan dari Pantai Timur ke Pantai Barat dan semasa pasukan penguatkuasa menahan kenderaan tersebut, pemandu itu sedang berhenti mengisi minyak.
“Hasil pemeriksaan fizikal yang dilaksanakan di tempat kejadian mendapi muatan yang di bawa adalah rokok yang disyaki barang larangan import.
“Dengan itu, rokok putih yang dirampas adalah sebanyak 2.1 juta batang dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM168,000 manakala jumlah duti terlibat sebanyak RM1.4 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah JKDM Pahang, Wan Apandi Wan Hassan.
Mengulas lanjut, Zazuli berkata, sindiket itu menggunakan lori kanvas dan bergerak aktif pada waktu kemuncak.
Jelasnya lagi, kegiatan itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Akhir-akhir ini, pihak kita mengenalpasti aktiviti penyeludupan kini beralih dari Pantai Pantai Timur ke Pantai Barat dan dilihat semakin aktif, ada yang menggunakan laluan laut.
“Kes ini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh (10) kali ganda nilai barang atau RM 100,000 (yang mana lebih tinggi); sehingga tidak lebih daripada dua puluh (20) kali ganda nilai barang atau RM 500,000 (yang mana lebih tinggi); atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sementara itu, tambah beliau, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah hanya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Justeru itu, sebarang maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan boleh disalurkan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,” katanya.
-ends-