Oleh : Adnan Mohamad
KUALA TERENGGANU, 1 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan 20 nelayan warga Vietnam selepas dipercayai menangkap ikan secara haram di perairan Malaysia di 116 batu nautika dari Muara Kuala Terengganu di sini, kelmarin.
Maritim Malaysia turut merampas bot, ikan campur 300 kilogram, peralatan komunikasi serta navigasi dan 2,000 minyak diesel.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, bot nelayan asing itu ditahan pada 1.20 tengah hari selepas bertindak melarikan diri di perairan Terengganu.
Katanya, semasa melakukan rondaan, Op Naga Barat dan Op Kuda Laut terserempak sebuah bot dalam keadaan mencurigakan pada pukul 12.30 tengah hari.
“Pemeriksaan turut mendapati tokong bot itu gagal menunjukkan sebarang kebenaran untuk menangkap ikan di perairan Malaysia.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya di sini, hari ini.
Mohd Khairulanuar berkata, semua barangan termasuk bot, peralatan komunikasi dan bekalan diesel yang dirampas itu dianggarkan berjumlah RM1.5 juta. – nasionalkini.my