PASANGAN kembar Khayra Aleeya dan Khayla Aleesa bukan sahaja pandai beraksi depan kamera, tetapi keduanya juga meminati sukan ekstrem skateboard.
Berusia 7 tahun, anak kepada Khairul Rizal Mohd Kamal dan Nur Amira Ibrahim, keduanya berusia 29 tahun, pernah terpilih sebagai model iklan KotaSAS, kawasan perumahan eksklusif berhampiran Indera Mahkota, Kuantan.
Khairul Rizal berkata, kedua anaknya itu menunjukkan minat dalam dunia peragaan sejak berusia enam tahun lagi.
“Mereka juga sangat minat melukis dan menari.
“Selain menjadi model iklan, sukan skateboard antara yang menjadi kegemaran Aleeya dan Aleesa,” katanya kepada wakil nasionalkini.my baru-baru ini.
Dia memberitahu, isterinya, Nur Amira terpaksa ‘ditidurkan’ kepada proses melahirkan pasangan kembar itu.
“Nur Amira ‘koma’ hampir tiga hari ketika prosedur pembedahan untuk melahirkan Aleesa,” katanya.
Bercerita tentang perbezaan antara anak kembarnya itu pula, Khairul Rizal berkata, Aleeya bermuka lebih bulat, manakala Aleesa pula memiliki lesung pipit.
“Sama seperti pasangan kembar lain, kalau seorang demam, mesti adiknya juga ikut sama demam,” katanya lagi.
Khairul Rizal dan Nur Amira sentiasa menyokong penuh minat kedua anaknya itu dan memberi dorongan kepada mereka untuk melakukan aktiviti yang mereka minat.
“Kami tidak memaksa mereka, mereka bebas untuk membuat pilihan apa yang mereka minat untuk lakukan, jadi kami cuma berikan sokongan sahaja,” katanya.- nasionalkini.my