LONDON, 15 Julai – Arsenal menandatangani pertahanan Ajax, Jurrien Timber dengan yuran perpindahan sekitar 40 juta pound (RM241.01 juta).
Timber adalah pemain kedua ditandatangani skuad kendalian Mikel Arteta pada jendela perpindahan musim panas ini selepas Kai Havertz.
Pembelian itu menyaksikan perbelanjaan Arsenal melonjak melebihi 100 juta pound (RM602.52 juta) selepas berbelanja 65 juta pound (RM391.64 juta) untuk Havertz.
Timber yang boleh beraksi di beberapa posisi, melakukan 121 penampilan untuk Ajax di peringkat senior selepas menyertai skuad remaja kelab Belanda itu dari Utrecht.
Timber memenangi dua gelaran liga dan satu Piala Belanda sepanjang bersama kelab Amsterdam itu.
Pengarah Arsenal, Edu berkata: “Kami sangat gembira dapat membawa Jurrien ke Arsenal.
“Dia pemain yang cukup kami kagumi, jadi terima kasih kepada semua yang menjayakan perpindahan ini.”
Arteta turut teruja dengan kehadiran Timber dan menjangkakan pemain pertahanan itu akan memperkuatkan skuadnya musim depan.
“Kami amat gembira Jurrien dapat menyertai kami. Dia pertahanan muda yang serba boleh, dia sesuai dengan sistem kami dan akan menambah kualiti kepada skuad.
“Jurrien masih muda tetapi sudah mencapai pelbagai kejayaan. Dia mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa serta memenangi beberapa trofi bersama Ajax.
“Kami tidak sabar untuk mengalu-alukan kedatangannya dan menyerapkan Jurrien ke dalam skuad,” kata Arteta dipetik dari Reuters.
Timber akan menyarung jersi bernombor 12 di Emirates, yang sebelum ini disarung oleh William Saliba.
Saliba pula akan menyarung jersi bernombor dua selepas menandatangani kontrak baharu minggu ini.
Arsenal dijangka akan mengumumkan ketibaan Declan Rice dari West Ham dalam masa terdekat.- nasionalkini.my