KUALA LUMPUR 16 April – Sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) dijangka terus merosot pada Pilihan Raya Negeri (PRN), tidak lama lagi.
Pandangan berkenaan yang disuarakan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar itu berikutan rakyat tidak percaya dengan prinsip parti itu yang sebelum ini sering mengungkapkan perkataan ‘No Anwar, No DAP’ .
Namun menjalin kerjasama membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Rakyat berasa mereka ditipu, lain cakap lain yang dibuat. Ini bukan saya cakap, ini apa yang anak muda beritahu mereka tidak mahu BN, sebaliknya sokong PN (Perikatan Nasional),” katanya, memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Berkongsi pengalaman dirinya sendiri bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi memberitahu, beliau merasakan UMNO sudah hilang taringnya terutama di kawasan majoriti Melayu.
“Berdasarkan kepada keputusan PRU15 lalu, semua kubu kuat parti itu tewas termasuk di Parlimen Tanjong Karang.
“Rakyat sudah nampak bahawa UMNO bukan lagi payung untuk melindungi perjuangan orang Melayu, sebaliknya sekarang menumpang payung parti lain pula yang semakin kukuh,” katanya. – NasionalKini