Arman Dhani
KUANTAN: Polis Pahang berjaya menahan sembilan individu yang disyaki menjual bunga api dan mercun tanpa lesen dan permit di dua daerah negeri ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pemeriksaan dan tangkapan itu membabitkan lima kes di daerah Kuantan dan empat kes di daerah Pekan.
“Tangkapan itu dibuat hasil operasi membabitkan 40 pegawai dan anggota unit penguatkuasa cawangan lesen dari ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pahang sejak 28 Mac lalu.
“Mereka yang ditahan berusia antara 24 hingga 49 tahun dan hasilnya polis turut merampas mercun dan bunga api bernilai RM13,060.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda RM7,000 atau keduanya sekali,” katanya.
Beliau berkata dalam satu sidang media di majlis berbuka puasa bersama ketua polis Pahang Peringkat Zon A di perkarangan ibu pejabat polis daerah (IPD) Kuantan, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, sebanyak 424 permohonan menjual bunga api dan mercun sejak awal Ramadan dan hanya 340 permohonan diluluskan, 50 ditolak manakala 34 masih dalam proses.
Tambah beliau, diingatkan bahawa bermain atau membakar mercun yang dilarang adalah satu kesalahan.
“Orang ramai yang didapai terlibat boleh didakwa mengikut Seksyen 3 (5) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih sebulan atau denda sehingga RM100 atau keduanya sekali,” katanya.