KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Keahlian bekas EXCO Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtaruddin, diluluskan sendiri Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), selepas dua hari menghantar borang untuk menyertai parti itu.
Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Muqharabbin menelefonnya menyatakan hasrat untuk menyertai gabungan ini sebelum menghantar borang permohonan secara dalam talian.
“Jadi apabila saya sambut dia dan saya ucap terima kasih kerana mempunyai kepercayaan terhadap kepimpinan PN.

“Saya sudah bagi tahu sekarang ini keluarga yang besar itu (PN) sudah menjadi lebih besar dengan kemasukan ahli-ahli yang dahulunya bersama dengan UMNO, yang dahulunya bersama MIC, ada juga dengan MCA yang sudah mula bersama dengan kami di PN,” katanya.
Terdahulu, Muqharabbin mengambil keputusan keluar UMNO kerana berpendapat parti itu telah ‘melumpuhkan’ kepercayaan rakyat Malaysia.
Situasi itu mendorong beliau, menyertai Perikatan Nasional sekali gus keluar daripada UMNO.
Katanya keputusan menyertai PN dibuat selepas hari penamaan calon supaya rakyat tahu dirnya tidak mengejar jawatan mahupun calon sebaliknya ingin memperkukuhkan penyatuan bangsa Melayu.
“Kalau saya kejar jawatan, buat apa saya keluar UMNO? Kan UMNO bersama kerajaan kini? Lagi senang saya ikut saja kerajaan,” katanya. – nasionalkini.my