KUALA LUMPUR, 31 Julai – Keahlian Timbalan Yang Dipertua PAS Langkawi, Mazlan Ahmad dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Langkawi, Safwan Hanif Shafie yang masing-masing bertanding sebagai calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah dan DUN Ayer Hangat digugurkan PAS, berkuat kuasa serta-merta.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, laporan Setiausaha PAS kawasan Langkawi yang baru diterima oleh Pejabat Setiausaha Agung PAS mendapati, sejumlah lapan individu melanggar ketetapan parti.
“Mereka bertindak dengan bertanding sebagai calon Bebas di kedua-dua DUN berkenaan, selain sebagai wakil calon, pencadang dan penyokong bagi kedua-dua calon Bebas berkenaan.
“Semua langkah sudah diambil oleh pihak kepimpinan tempatan bagi menghalang individu itu daripada meneruskan niat terbabit tetapi gagal mencapai matlamat yang diharapkan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Pada 26 Julai lalu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta makluman Setiausaha Agung PAS pada 27 dan 30 Julai menegaskan mana-mana ahli yang mengingkari keputusan parti dengan bertanding sebagai calon Bebas atau mengambil apa-apa tindakan yang boleh merugikan parti boleh diambil tindakan tegas, termasuk dipecat keahlian mereka. – nasionalkini.my