Oleh Ahmad Abd Hamid
‘Kasihnya ibu membawa ke syurga
Kasihnya saudara masa berada
Kasihnya ayah sanggupkah berpisah
Dan kasih anaknya berkorban nyawa’
(Petikan lagu Kasihnya Ibu nyanyian Saloma)
BENARLAH, kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah sanggupkah berpisah, kasih anaknya berkorban nyawa. Kasih sayang ayah dan ibu tidak bertepi, kasih sayang anak hingga sanggup berkorban jawa raga.
Penulis sangat terharu membaca laporan media baru-baru ini mengenai bagaimana anak-anak begitu sabar menunggu 13 tahun untuk ayah yang disayangi, Mohd. Fadli Mohd Yusof, 57, kembali ke pangkuan keluarga setelah begitu lama hidup di balik tabir besi.
Anak-anak begitu teruja menanti ayah keluar melangkah kaki dari Penjara Kajang, Selangor, pada 2 Disember 2022. Video lelaki berusia 57 tahun itu keluar dari penjara ke dalam pelukan anak-anak dikongsi oleh salah seorang anaknya, Siti Nur Huda Mohd Fadli, 31, baru-baru ini.
Malah, video yang dikongsikan tersebut mendapat lebih sejuta tontonan serta lebih 4,000 komen sokongan.
Jelas ayah begitu gembira kembali mengecap kebebasan yang telah lama hilang, sementara anak-anak menunggu di seberang jalan. Begitu teruja sekali ayah dan anak-anak bertemu sambil berdakapan.
Sayang sekali ibu tercinta, Kamaliah Ali, 51, tidak dapat bersama di saat bahagia lantaran telah pergi menghadap Ilahi pada November 2018.
Kasih sayang terhadap suami tidak pernah padam. Hampir setiap bulan arwah mengunjungi suami di penjara bersama-sama anak-anak. Kini setelah tiba saat bahagia suami bebas, dia tidak ada bersama untuk meraikan.
Yang penulis kagum ialah sikap anak-anak yang bukan sahaja sangat gembira dengan kepulangan bapa, tetapi juga tidak ada langsung sekelumit rasa malu kerana bapa seorang bekas banduan. Sungguhlah, kasihnya anak berkorban nyawa.
Pekerti mereka sangat mulia. Tidak luntur kasih sayang kepada bapa yang begitu lama tidak bersama dalam mereka melayari bahtera kehidupan. Bagi Siti Nur Huda, yang mempunyai tiga orang anak, itu adalah kisah silam walau masih ada sekelompok masyarakat yang memandang serong bekas banduan.
Tiada langsung terdetik di hati istilah membuang ayah. Kehidupan perlu diteruskan. Hari raya tahun ini adalah detik bersejarah kerana akan diraikan bersama bapa yang kini tinggal bersamanya di Damansara.
Namun rasa sedih tersemat di sudut hati kerana ibu yang saban tahun berharap dapat berhari raya bersama ayah tidak sampai hajatnya.
Tentu Mohd Fadli bangga dan terharu kerana anak-anak menerima dengan baik. Itu adalah satu kebahagiaan tidak terhingga nilanya. Namun hatinya tetap sayu kerana isteri terlebih dahulu meninggalkannya. Benarlah, kasihnya isteri dan ibu kepada anak-anaknya membawa ke syurga.
Pasti bekas penjawat awam itu merasakan Ramadan dan hari raya tahun ini adalah saat bersejarah setelah bertahun-tahun menyambutnya di balik tirai besi tanpa orang disayang di sisi.
Apa yang berlaku kepada Mohd Fadhli, dan sikap yang ditunjukkan oleh anak-anaknya, wajar menjadi contoh teladan betapa kaum keluarga tidak harus sama sekali menyisihkan ahli keluarga walau pun telah melakukan kesalahan. Berilah semangat untuk mengharungi hidup.
Begitu juga masyarakat jangan terus menerus memandang serong kepada bekas banduan.
Sebaliknya sokong dan bantulah mereka untuk kembali ke pangkuan masyarakat. Mereka telah melalui kehidupan yang sukar dan telah insaf. Siapakah kita untuk menghukum?