in

Tambah baik silibus Sejarah

Subjek Sejarah semuanya adalah berkaitan penghafalan, bukan semua pelajar mampu menguasai perkara ini - Gambar hiasan

ALOR SETAR, 21 Jun – Kementerian Pendidikan diminta menambah baik modul silibus mata pelajaran Sejarah termasuk melihat keperluan menambah jumlah waktu belajar bagi memastikan pelajar lulus dengan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Kedah Zainol Abidin Mohamad berkata, kementerian juga perlu mengadakan kajian kes bagi memberi peluang kepada pelajar lemah menambah markah agar lulus dalam peperiksaan itu.

“Sejarah jadi subjek wajib lulus untuk dapat sijil selain Bahasa Melayu (BM) tetapi Sejarah hanya diajar sebanyak 120 minit seminggu iaitu antara dua hingga tiga waktu sahaja berbanding BM iaitu enam hingga tujuh waktu.

“Subjek Sejarah semuanya adalah berkaitan penghafalan, bukan semua pelajar mampu menguasai perkara ini. Kita harap kerajaan perlu mencari jalan untuk memperbaiki perkara ini kerana pelajar belajar sehingga 11 tahun tetapi gagal akhirnya,” katanya kepada KOSMO.

Beliau menambah, pemarkahan subjek Sejarah itu juga boleh dilakukan dengan nisbah 30 peratus lisan dan 70 peratus ujian bertulis seperti BM.

“Kena kaji balik kalau mahu terus jadikan Sejarah subjek wajib lulus.

“Mungkin perlu adakan sesi pembelajaran berbeza seperti bentuk kuiz untuk menarik perhatian mereka,” jelasnya.

KPM sebelum ini mendedahkan 8.4 pe­ratus daripada pelajar lepasan SPM 2022 tidak la­yak mendapat sijil kerana gagal dalam subjek BM dan Sejarah atau kedua-duanya. – nasionalkini.my

Lantik OKU ejen kesihatan komuniti

41 maut pergaduhan di penjara wanita