KUALA LUMPUR, 17 Mei – Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq (MSABA) di Bangsar yang berusia 40 tahun menerima Anugerah Muhibah Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC)-MACROKIOSK kerana usahanya menyantuni masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan
Panel hakim yang terdiri daripada pengarang media mengiktiraf inisiatif MSABA dalam memupuk semangat muhibah sejak beberapa tahun lalu.
Ia termasuk terbaharu mengundang doktor berbangsa Sikh daripada Kementerian Kesihatan untuk menyampaikan ceramah kepada jemaah masjid mengenai berhenti merokok, Ramadan lalu.
Presiden NPC Datuk Ahirudin Attan ketika menyampaikan anugerah berkenaan berkata, inisiatif NPC dan MACROKIOSK itu adalah sebagai menghargai usaha mempupuk semangat muhibah dan setiakawan tanpa mengira bangsa, agama dan kewarganegaraan.
“Melalui anugerah ini, kami berharap dapat menyemarakkan lagi semangat muhibah dan membantu mewujudkan Malaysia yang lebih kukuh, berdaya tahan dan bersatu.
“Matlamat ini bukan sahaja menjadi tanggungjawab pemimpin, tetapi juga tanggungjawab semua orang di Malaysia.
“Malaysia yang benar-benar muhibah hanya boleh dicapai melalui usaha kolektif oleh kita semua, di dalam bilik ini mahupun di luar sana,” katanya
Siri anugerah bulanan itu dilancarkan bulan lepas oleh NPC bersama syarikat penyedia platform penyelesaian perusahaan, MACROKIOSK.
Anugerah itu adalah bagi mengiktiraf mana-mana individu, kumpulan atau organisasi yang memaparkan semangat muhibah sebenar di Malaysia, dengan kumpulan pengarang media akan bergilir-gilir menilai calon untuk anugerah itu. -nasionalkini.my