MENIKMATI secawan kopi panas sambil menjamu selera boleh dikatakan menjadi ‘trend’ dan pemandangan biasa sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak lagi dikuatkuasakan di negara ini.
Deretan kedai kopi yang tersedia di sekitar bandar raya Kuantan juga memberi pilihan pelbagai kepada peminat minuman yang berasal dari Habsyah, Yaman itu.
Bagi Faiz Mustafa, 35 tahun, dia mula mengusahakan kedai kopi miliknya di Taman Medan Masyhur, Indera Mahkota 2, dekat Kuantan sejak 2021, selepas diberhentikan kerja ketika PKP.

Selain menawarkan berbagai jenis minuman berasaskan kopi, dia juga menyediakan menu istimewa miliknya di Faiz Koffee House- Nasi Ayam Original.
“Saya tidak mengikuti sebarang kursus berkaitan pembuatan air kopi, tapi sebelum ini ada pengalaman sebagai barista.
“Jadi, saya belajar sendiri selain merujuk kepada rakan-rakan yang sudah lama menceburi perniagaan seperti ini,” katanya ketika ditemui nasionalkini.my di premisnya.
Faiz turut memberitahu, dia mengusahakan kedai itu seorang diri, tanpa pembantu.
Ditanya mengenai pemilihan lokasi dan jenis perniagaan itu pula, dia berkata, belum ada kedai kopi berkonsepkan kedai miliknya di kawasan Indera Mahkota 2, buat masa ini.

“Jadi, saya cubalah buka dan perkenalkan kedai kopi menggunakan konsep seperti yang anda boleh lihat sekarang.
“Macam nasi ayam original yang saya sediakan pula, ia adalah resepi saya sendiri, hasil pengalaman berniaga nasi ayam di Seksyen 7, Shah Alam beberapa tahun lalu,” katanya.
Dia juga memaklumkan modal bagi memulakan perniagaan itu adalah dari pampasan diterima ketika diberhentikan kerja.
“Selain itu, saya juga buat pinjaman melalui Perbadanan Usahawan Nasional Berhad untuk melengkapkan kedai ini,” katanya.
Mereka yang sukakan kopi dan nasi ayam boleh singgah di Faiz Koffee House Indera Mahkota 2 yang beroperasi hari Khamis hingga Isnin, bermula jam 1 petang hingga 10 malam. -nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN