JIKA anda penggemar masakan berasaskan belut, mungkin sedikit sukar untuk menemui kedai yang kena dengan selera.
Jadi, pilihan yang ada agak terhad.
Sehinggalah anda mencubanya di kedai Lan Ikan Bakar yang terletak di Bandar Putra, dekat Tanjung Lumpur.
Kedai milik Norhayati Che Hassan atau lebih dikenali dengan panggilan Eyna itu terletak di depan Sekolah Menengah Tanjung Lumpur, yang sememangnya tersohor dengan pelbagai jenis kedai menjual menu sama – ikan bakar petai.
“Lokasi kedai kami agak tersorok sikit, tapi sejak dibuka kira-kira lima tahun lalu, Alhamdulillah, sambutan diterima sangat menggalakkan,” kata Eyna kepada wakil nasionalkini.my baru-baru ini.
Selain pelbagai menu berasaskan belut antaranya sup belut, meggi belut, kedainya turut menyediakan masakan panas yang lain.
Ini termasuklah menu ala-Thai yang popular seperti somtam dan kerabu mangga.
“Ikan bakar petai pun kami sediakan bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya lagi.
Eyna memaklumkan perniagaan itu diusahakan bersama dua anaknya dan dibantu enam pekerja.
Lan Ikan Bakar beroperasi dari jam 7 pagi hingga 3 petang untuk menu sarapan, manakala untuk masakan panas dan menu masakan panas dan belut pula boleh dinikmati pelanggan bermula jam 1 petang hingga jam 1 pagi, setiap hari.
“Buat masa ini, kami tidak tetapkan hari untuk berehat (tutup), bila dah tak larat sangat, kami akan tutup sehari.
“Jadi, bergantung kepada pekerja juga, kalau mereka nak rehat, mereka akan cakap dan kami ambil cuti,” katanya.
Lan Ikan Bakar turut menyediakan masakan ayam kampung, makanan ringan seperti sate ikan pelbagai jenis air buah untuk pesanan pelanggan.
Bagi peminat menu belut, boleh berkunjung ke Lan Ikan Bakar di Lorong Bandar Putra, Kempadang, Jalan Lama Tanjung Lumpur untuk menjamu selera.- nasionalkini.my