KUALA LUMPUR 2 Jun – Program Pengakuan Sukarela (PKS)diperkenalkan semula bagi memberi peluang kepada orang ramai membayar cukai yang bertanggungan tanpa sebarang penalti atau pada kadar sifar peratus.
Kementerian Kewangan memaklumkan, langkah itu merupakan salah satu inisiatif memperluaskan bilangan pembayar cukai, meningkatkan tahap pematuhan cukai dan meningkatkan hasil negara.
“Program ini akan dilaksanakan Jabatan Kastam Di Raja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mulai 6 Jun ini hingga 31 Mei 2024,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Sementara itu, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) pula memberitahu, PKPS 2.0 ini merupakan inisiatif pihaknya untuk menyokong rukun kemampanan dalam pentadbiran percukaian negara seiring dengan konsep Malaysia Madani.
Katanya, program yang ditawarkan tersebut memberi peluang kepada pembayar cukai baharu dan sedia ada untuk meningkatkan tahap pematuhan cukai mereka berteraskan konsep A.E.S (Awareness, Education, Services).
“PKPS 2.0 ini memberi peluang kepada pembayar cukai tampil secara sukarela untuk melaporkan pendapatan dan pengiraan cukai yang tepat dan teratur.
“Ia selaras dengan ketetapan LHDN yang sedang berkuat kuasa serta menggalakkan pembayar cukai membayar cukai dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.
PKPS 2.0 turut ditawarkan kepada semua kategori pembayar cukai (kecuali kategori fail majikan) di mana penalti yang ditawarkan adalah pada kadar sifar peratus. – nasionalkini.my