BIDANG pengajian asalnya dalam kewangan Islam, tapi itu tidak menjadi penghalang kepada Akma Natihah Azman meneroka bisnes bakeri.
Dia yang kini berusia 27 tahun memilih untuk meneruskan minatnya sejak kecil – menyediakan dan menjual pelbagai jenis kek.
Paling menarik, kek dihasilkannya itu bukan sahaja sedap, tapi dijual pada harga bermula serendah RM1.
“Memang niat utama adalah untuk memberi peluang kepada seberapa ramai mungkin dapat menikmati kek pada harga berpatutan.
“Sebab itulah bisnes kami usahakan ini cepat mendapat tempat di hati pelanggan,” katanya ketika ditemui wakil nasionalkini.my baru-baru ini.
Dia memulakan perniagaan itu pertengahan bulan lalu di Taman Bukit Rangin, berdekatan Masjid Saidina Othman, Kuantan.
Akma Natihah dibantu dua lagi pekerja bagi melayan pelanggan yang semakin bertambah.
Ditanya mengenai cabaran dihadapi sejak mula berniaga, dia memberitahu kos bahan untuk membuat kek yang agak tinggi sering menjadi penghalang untuk menambahkan lagi menu kek di kedainya.
“Sekarang harga bahan masih bertahan, cuma bila musim perayaan, memang akan meningkat secara mendadak,” katanya yang belajar membuat kek melalui kelas dalam talian.
Dia juga turut mengikuti kelas pembuatan kek melalui kelas dikendalikan tenaga pengajar terlatih.
Akma Natihah juga berkongsi impiannya untuk membuka kedai kek sendiri satu masa nanti.
“Buat permulaan saya berniaga bawah kanopi saja, mudah untuk orang datang dan pilih kek yang mereka suka.
“Akan datang kalau ada rezeki, memang nak buka kedai (bakeri) sendiri, boleh berikan keselesaan kepada pelanggan,” katanya.
Antaranya kek disediakan di gerai Akma Natihah adalah Choc Fudge Nutella, Red Velvet Nutella dan Brownies Nutella dan sering menjadi pilihan utama pelanggan.
Kek Singgit Kuantan beroperasi dari Isnin hingga Khamis, bermula jam 12.30 tengah hari hingga jam 3 petang.
Gerai itu tidak dibuka pada hari Ahad.
Mereka juga mempunyai laman sosial Instagram dan TikTok.
Selain itu, tempahan kek untuk acara tertentu boleh dibuat melalui aplikasi WhatsApp di talian 014-5154010. – nasionalkini.my