LANGKAWI, 24 Julai – Peruntukan tambahan sebanyak RM200,000 diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menaik taraf fasiliti kesihatan di pulau peranginan tersebut
Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, peruntukan itu melibatkan mesin bilirubinometer bagi pemeriksaan paras bilirubin bayi menghidap jaundis di Pulau Tuba, yang bernilai kira-kira RM50,000.
“Mesin berkenaan diyakini mampu menjimatkan kos terutama kepada pesakit jaundis yang tidak perlu lagi berulang alik ke ke pulau besar bagi pemeriksaan lanjut dan membaca paras bilirubin.
“Perkara ini akan menjimatkan masa, yang keduanya mengurangkan kos perjalanan,” katanya.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja di Hospital Sultanah Maliha (HSM) hari ini.
Selain itu, peruntukan juga akan digunakan bagi menaik taraf sistem pintu magnetik dewan bersalin dan dewan bedah selain peti sejuk khas bagi menyimpan bahan reagen yang semakin bertambah di Unit Patologi HSM.
Beliau memberitahu, satu unit peralatan system 8 cordless driver stryker juga akan ditambah kepada unit sedia ada yang dijangka dapat mengatasi masalah tunggakan kerja dan waktu menunggu pembedahan dijalankan.
Beliau pada masa sama turut menyatakan, kerja-kerja naik taraf HSM sudah mencapai 19 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2025.