JOHOR BAHRU, 14 Julai – Polis menahan seorang lelaki berusia sekitar 30-an bagi membantu siasatan menikam seorang konstabel polis ketika bertugas, minggu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki berkenaan ditahan di sekitar bandar raya ini kira-kira jam 1 tengah hari, kelmarin dan kini disiasat mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Lelaki itu didapati positif terhadap dadah jenis Methamphetamine dan dia ditahan reman selama tiga hari bermula semalam,” katanya
Terdahulu Kamarul Zaman melawat anggota berkenaan yang kini dalam keadaan stabil di Hospital Sultanah Aminah di sini.
Isnin lalu, seorang anggota polis berpangkat konstabel cedera parah selepas ditikam seorang lelaki dalam Op Tapis Khas Se-Malaysia di kawasan tempat letak kereta berbayar di Jalan Ungku Puan,
Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, anggota polis berkenaan bersama empat anggota lain dan seorang pegawai sedang membuat pemeriksaan terhadap tiga individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.
“Tiba-tiba seorang daripada mereka cuba melarikan diri dan telah berlaku pergelutan sehingga mangsa ditikam oleh suspek yang kemudiannya melarikan diri.
Mangsa cedera luka dalaman di bahagian rusuk belakang sebelah kiri akibat ditikam menggunakan sebilah pisau.
Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk menerima rawatan- nasionalkini.my