PETALING JAYA, 27 Mei – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS) merampas 24 tan daging babi sejuk beku bernilai RM180,000 dipercayai diimport dari Australia di Pelabuhan Klang Barat.
Pengarah MAQIS Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata, daging babi itu dikesan menerusi pemeriksaan ke atas sebuah kontena Rabu lalu.
“Pemeriksaan mendapati kontena membawa dagangan daging babi sejuk beku itu tidak mematuhi syarat permit import dikeluarkan MAQIS.
“Pengimport gagal mempamerkan label loji penyembelihan yang diiktiraf pada bungkusan dagangan terbabit, sepertimana dinyatakan dalam syarat permit import diluluskan,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, kegagalan mematuhi syarat permit import MAQIS merupakan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan 2011 yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(2) akta sama.
Katanya, pengimport boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“MAQIS sentiasa memastikan produk keluaran pertanian diimport dari loji diiktiraf bagi memastikan sumber makanan dibawa masuk ke dalam negara bebas daripada segala risiko penyakit serta berkualiti tinggi.” – nasionalkini.my