Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 12 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka merampas pelbagai barangan tiruan di empat buah premis di kawasan tumpuan pelancong di sini semalam.
Serbuan pada pukul 11 pagi itu berdasarkan aduan diterima daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar berhubung terdapat aktiviti mencurigakan membabitkan cap dagangan mereka.
Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, hasil serbuan itu, pihaknya menemukan pelbagai barangan dipercayai tiruan dianggarkan bernilai RM3,224.
“Ia adalah 32 pasang kasut, selipar (24 pasang) dan 13 utas tali pinggang yang dipakaikan dengan suatu cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran pemilik cap dagang yang sah.
“Ketika pemeriksaan empat lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 50 tahun
dirakam keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya pada sidang media di stor barangan sitaan KPDN di Krubong di sini hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 (ACD 2019) dan Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987.
Seksyen 102 (1)(c) ACD iaitu kesalahan mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalan bagi maksud perdagangan atau pengilangan cap dagangan yang salah.
“Jika sabit kesalahan, sekiranya yang terlibat merupakan pertubuhan perbadanan, mereka akan didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.
“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, mereka boleh didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar,” katanya.
Namun sekiranya individu terlibat bukan pertubuhan perbadanan, mereka akan didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya. – nasionalkini.my