in

Peluang ‘cerah’ pembangunan semula SAAS – AmInvestment

IMG 20230509 WA0016
Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah akan dinaiktaraf sebagai hub penerbangan serantau dan mampu menampung kapasiti sehingga 8 juta penumpang setahun - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Pelan pengembangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS) kini berada dalam perancangan selepas Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengemukakan kertas kerja berkenaan kepada Kementerian Pengangkutan baru-baru ini, demikian menurut AmInvestment Bank Research.

“Kami melihat langkah ini membuka laluan kepada Kabinet untuk kelulusan selanjutnya pada akhir suku kedua 2023,” katanya dalam nota kajian hari ini.

Minggu lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan telah menerima kertas kerja pelan perniagaan bagi pembangunan semula SAAS daripada MAHB.

Kementerian Pengangkutan beserta beberapa kementerian lain buat masa ini sedang meneliti cadangan tersebut untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak-pihak berkenaan.

Pada Februari lalu, Loke mengumumkan Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP) telah diluluskan secara prinsip oleh Kabinet.

Pelan itu akan menyaksikan lapangan tersebut dinaiktaraf sebagai hub penerbangan serantau dan mampu menampung kapasiti sehingga 8 juta penumpang setahun (mppa), lebih 5 kali ganda daripada kapasiti sedia ada sebanyak 1.5 mppa.

Selain SAAS, AmInvestment juga mendapati MAHB mempunyai beberapa pelan pengembangan dalam perancangannya.

“Antaranya, pembesaran pengembangan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang daripada 6.5 mppa kepada 12 mppa kini dalam peringkat perancangan.

“Sementara itu, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kelantan juga sedang menjalani pembesaran untuk meningkatkan kapasiti daripada 1.5 mppa kepada 4 mppa,” jelasnya.

Secara keseluruhan, firma itu masih mengekalkan saranan ‘pegang’ terhadap MAHB di sebalik prospeknya diunjur kekal cerah.

Malah, syarikat pengendali lapangan terbang itu juga dijangka kembali mencatat keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23).

“Ini berikutan pemulihan semula pengangkutan udara dan sektor pelancongan memandangkan pandemik COVID-19 kini semakin terkawal dengan pengambilan vaksin secara besar-besaran dan pembukaan semula sempadan antarabangsa akan menyokong prospek kumpulan,” jelasnya. – nasionalkini.my

IMG 20230509 WA0008

Selesaikan dalam masa 7 hari atau tangguh projek – Ab Rauf

IMG 20230509 WA0009

Kes buli pelatih TUDM, lebih 10 saksi dipanggil beri keterangan