in

Keroncong bukan muzik orang tua

Antara barisan artis yang akan menjayakan Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia (dari kiri) Rizal Ahmad, Datin Alyah, Han Byul dan Datuk Yusni Hamid - Gambar oleh Hari Anggara

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Menjadi antara penyanyi yang sering membawa lagu keroncong, penyanyi legenda, Datuk Yusni Hamid mengaku genre itu makin kurang diminati, berbanding dendangan tradisional lain.

Malah, akui Yusni, jika tiada usaha memartabatkan irama itu, tidak mustahil keroncong yang suatu ketika dahulu cukup diminati, bakal lenyap ditelan zaman.

Yusni atau nama sebenar, Aisah Mohd Shariff, 72, berpendapat, demi kelangsungan melodi indah itu, perlu ada inisiatif diambil pihak bertanggungjawab untuk menyuburkan keroncong, termasuk mempromosikan irama itu secara berterusan.

“Ada yang berpendapat irama keroncong hanya untuk orang tua sahaja. Saya tidak setuju dengan pandangan itu kerana genre muzik ini sesuai untuk orang muda, sama seperti lagu tradisional lain.

“Cuma, kita kena pandai mempromosikan keroncong agar anak muda dapat menghargainya.

“Antara usaha boleh diambil adalah menganjurkan pertandingan lagu keroncong. Kalau kita boleh anjurkan pertandingan nyanyian lagu tradisional, kenapa kita tak boleh adakan pertandingan sama untuk irama keroncong?” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia di Istana Budaya, di ibu negara baru-baru ini.

Yang turut hadir adalah wakil penganjur, Nazrul Asraff Mahzan.

Datuk Yusni Hamid

Selain Yusni, konsert anjuran Irama Studios yang disokong Kementerian Komunikasi dan Digital serta Mycreative Ventures Sdn Bhd ini turut menampilkan penghibur tersohor iaitu Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Awie dan Datin Alyah.

Konsert itu turut diserikan dengan kehadiran pelapis generasi baharu iaitu Bintang Klasik 2012, Rasyidah Abd Rahim; Juara Bintang Nostalgia 2013; peserta Puteri Keroncong, Jamilah Abu Bakar dan juara musim kedua, Big Stage, Han Byul.

Tambah penyanyi bersuara merdu ini, usaha untuk memartabatkan irama keroncong boleh dilakukan dengan memperbanyakkan lagu ciptaan baharu, bukan sekadar bergantung kepada lagu lama sahaja.

“Salah satu faktor menyebabkan irama ini kurang diminati adalah kerana tidak banyak lagu ciptaan baharu dihasilkan.

“Mungkin selepas ini, kita kena perbanyakkan lagi penghasilan lagu seperti ini.

“Selain itu, saya lihat kita ketandusan penyanyi irama keroncong dalam kalangan lelaki,” katanya lagi, lapor BH.

Menyedari penyanyi ada pengaruh, Yusni mempunyai cara tersendiri untuk memastikan lagu keroncong terus mendapat tempat di hati pendengar.

“Setiap kali diundang untuk membuat persembahan, saya pasti selitkan satu atau dua lagu keroncong.

“Kadang-kadang saya nyanyikan lagu moden, tetapi susunan muzik digubah menjadi irama keroncong.

“Bukan sahaja terhad kepada lagu Melayu, malah, lagu dalam bahasa Inggeris. Antara lagu kegemaran saya yang diubah muziknya menjadi irama keroncong adalah Can’t Help Falling In Love With You,” katanya.

Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 5 dan 6 Ogos ini – Gambar hiasan

Mengulas mengenai penganjuran Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia di Panggung Sari, Istana Budaya di ibu negara, selama dua hari, mulai 5 Ogos, Yusni memuji usaha penganjur.

“Saya fikir ini julung kali dianjurkan konsert khas untuk irama keroncong. Saya melihatnya sebagai suatu inisiatif penganjur untuk memartabatkan irama ini.

“Jujurnya, ketika melihat senarai nama penyanyi yang turut bersama menjayakan konsert ini, saya terkejut ternampak nama Awie.

“Bagaimanapun, saya percaya, Awie boleh bawa lagu keroncong dengan baik. Saya pernah mendengar dia menyanyi lagu berentak zapin sebelum ini dan dia sangat bagus.

“Selain itu, konsert ini juga dilihat cuba menarik peminat muda apabila menampilkan penyanyi generasi baharu antaranya Han Byul.

“Saya beritahu dia, mungkin dia boleh menyanyikan lagu dalam bahasa Korea tetapi dikeroncongkan,” katanya yang akan menyanyikan tiga lagu pada malam itu termasuk lagu hitnya, Kau Yang Ku Nanti.

Bagi mereka yang ingin menyaksikan konsert itu, tiket berharga antara RM88 hingga RM588 boleh didapati menerusi www.ilassoticket.com.my. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

Agong tunai solat Jumaat di Masjid Sri Sendayan

earth heat wave 696x392 1

Cuaca panas: 39 kes dikesan, Kelantan paling tinggi