in

Istana Budaya ‘direhatkan’ 2 tahun untuk kerja naik taraf

IMG 20230524 WA0005
Panggung Sari, Istana Budaya antara lokasi ikonik untuk persembahan pentas di ibu negara

Oleh Ahmad Abd Hamid

INGIN mengadakan persembahan atau pementasan di Istana Budaya (IB)? Jika ada hasrat sedemikian segeralah lakukan sebelum Istana Budaya ditutup sepenuhnya untuk dua tahun mulai 1 Januari 2024 hingga 1 Januari 2026.

Memetik Ketua Pengarah IB, Zubaidah Mukhtar, penutupan Istana Budaya untuk membolehkan kerja penyelenggaraan dan pembaikan dijalankan, khususnya di bahagian luar bangunan, termasuk mengganti bumbung.

Sebanyak RM30 juta diperuntuk bagi kerja pemulihan ini.

Memang wajar sekali kerja pembaikan dan pemulihan ini kerana sejak Istana Budaya beroperasi 25 tahun lalu ia belum pernah melalui proses penambahbaikan.

Kerana itu kerja penyelenggaraan kali ini dijalankan pada skala besar-besaran untuk memastikan bangunan berseni bina unik itu terus nampak gah mewarnai ibu kota.

Sejak mula beroperasi sehingga kini, Istana Budaya telah menjadi venue pelbagai persembahan dan pementasan dengan mendapat sambutan menggalakkan. Namanya sudah sinonim dengan penggiat serta peminat seni budaya tanah air.

Kerana itulah Istana Budaya mesti sentiasa kelihatan hebat sebagai lambang seni budaya negara, bukan sahaja gah namanya tetapi juga gah persembahan yang diadakan.

Piawaian sentiasa dijaga agar apa juga aktviti seni yang dijalankan di dalam bangunan indah itu bertaraf tinggi serta memuaskan hati penonton, serta memelihara nama baik Istana Budaya.

Selain itu persembahan yang diadakan sedaya mungkin memenuhi citarasa semua peringkat peminat.

Kerana itu ada persembahan drama moden atau bangsawan, persembahan nyanyian oleh kumpulan rock dan penyanyi bukan rock serta penyanyi pop yeh-yeh 60-an.

Kumpulan luar juga diberi kesempatan mengadakan persembahan di Istana Budaya. Ini termasuk kumpulan terkenal dari Indonesia, D’Lloyd, yang popular dengan lagu ‘Oh Di Mana’, ‘Cinta Hampa’, ‘Keagungan Tuhan’, ‘Apa Salah dan Dosaku’ dan ‘Semalam di Malaysia’.

Hanya lebih kurang enam bulan sahaja lagi sebelum proses baik pulih Istana Budaya bermula. Seeloknya mereka yang berminat rebutlah peluang mengadakan persembahan kerana masih ada ruang tersedia.

Menurut Zubaidah, ada beberapa slot untuk pementasan dan persembahan di Panggung Sari sebelum akhir tahun ini. Kepada syarikat produksi atau agensi yang berminat mengadakan persembahan bolehlah menghantar permohonan selewat-lewatnya pada September depan.

Istana Budaya masih mengekalkan bayaran RM15,000 bagi setiap persembahan, kadar yang sama sejak ia mula beroperasi 25 tahun lalu. Syarikat produksi pula dikehendaki membayar deposit RM10,500 sebelum memulakan persembahan.

Zubaidah berharap kerja baik pulih Istana Budaya akan berjalan lancar menurut jadual tanpa penangguhan agar boleh siap menurut jadual. Penggiat dan peminat seni berharap untuk melihat Istana Budaya yang lebih hebat dan berdiri megah apabila projek siap kelak. – nasionalkini.my

Jenazah Awang Askandar tiba di kem 3 Everest

IMG 20230524 WA0008

Impian Andmesh jadi realiti