KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Pelakon Farid Kami akhirnya membuka mulut berhubung perceraiannya dengan bekas isteri, Diana Danielle yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari di Subang, Khamis lalu.
Reda dengan ketentuan Tuhan, Farid yang menceraikan Diana dengan talak satu hanya mampu mendoakan yang terbaik buat Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 32, dan anak-anaknya, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.
“Alhamdulillah, semua dapat diselesaikan dengan baik. Saya bersyukur dan lega dengan takdir yang tertulis.
“Doa terbaik juga buat Diana. Semoga Muhammad dan Aurora sentiasa dalam perlindungan Allah,” katanya kepada BH menerusi aplikasi WhatsApp, sebentar tadi.
Mengulas lanjut, pemilik nama sebenar, Farid Kamil Zahari, 42, percaya tiada apa yang kekal di muka bumi kerana semuanya adalah pinjaman.
“Semuanya adalah milik Allah. Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita dikembalikan,” ungkap pelakon Anwar: The Untold Story ini.
Ditanya apakah perancangannya, Farid menyerahkan segala-galanya kepada Yang Maha Esa.
“Saya tiada sebarang perancangan. Saya hanya menunggu perancangan Allah sahaja,” ujarnya ringkas.
Terdahulu, lafaz cerai dilakukan Farid menerusi aplikasi Google Meet di hadapan Hakim Syarie, Shukran Yusof selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Diana mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Ini kerana Farid selaku defendan dalam kes lafaz cerai tidak dapat hadir ke mahkamah kerana masih tidak sihat akibat pasca COVID-19.
Dalam prosiding itu, Farid diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan, manakala Diana diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader.
Kontroversi rumah tangga pasangan ini timbul selepas Diana memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 10 Mac lalu.
Menerusi laporan media, alasan Diana mahu bercerai disebabkan tiada persefahaman, berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Bagaimanapun, Farid dilaporkan enggan melafazkan cerai terhadap isterinya.
Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan melalui perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora.- nasionalkini.my