KUALA LUMPUR, 12 Mei – Sebelum menetapkan tarikh mementaskan konsert di Malaysia, kumpulan rock popular dari Britain, Coldplay pernah menaja jentera perangkap sampah sungai, Interceptor 005 di Sungai Klang tahun lalu.
Ia susulan Coldplay mengumumkan kolaborasi bersama pertubuhan tidak berasaskan keuntungan dari Belanda, The Ocean Cleanup dalam usaha mencegah sampah dan pencemaran daripada masuk ke laut.
Kumpulan dianggotai oleh Chris Martin, Johnny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion itu dilaporkan menyumbang sebanyak AS$777,000 (RM3.2 juta) bagi jentera berkenaan.
Ia adalah Interceptor kedua beroperasi di Malaysia selepas Interceptor 002 beroperasi di Sungai Klang pada Ogos 2019.
Memetik kenyataan dikeluarkan, tahun lalu, Coldplay berpendapat sekiranya tiada usaha pencegahan dilakukan, sungai akan terus tercemar menjelang 2050.
“Jika tiada tindakan, mungkin akan lebih banyak plastik daripada ikan di laut pada 2050. Disebabkan itu, kerja The Ocean Cleanup sangat penting.
“Kami bangga menaja Interceptor 005 yang akan memerangkap ribuan tan sampah sungai sebelum sampai ke laut,” katanya.
Pada ketika itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The Ocean Cleanup, Boyan Slat, berkata Malaysia adalah negara pertama akan menerima Interceptor 005 dan ia dibina pada kemudahan MHE-Demag di Klang, Selangor dengan kerjasama firma Finland, Konecranes.
Interceptor adalah teknologi inisiatif The Ocean Cleanup yang mampu memerangkap hingga 100 tan sampah terapung yang terapung dan dibuang ke dalam sungai sebelum sampai ke laut.
Direka khas membendung pencemaran 1,000 sungai paling tercemar di dunia, Interceptor 005 adalah satu daripada dua unit yang dihasilkan dalam siri rekaan generasi ketiga teknologi ini.
Turut dikenali sebagai New Moon 1, Interceptor 005 akan terus beroperasi selepas siap dibina pertengahan 2021, jelas Slat dalam satu kenyataan.
Menurut Slat, sisa plastik dari sungai akan dibawa arus sehingga ke tempat pusaran sampah di tengah lautan, yang mana sampah sarap akan terkumpul dalam arus berputar selama bertahun-tahun.
“Kekurangan tindakan untuk mencegah pencemaran akan meningkatkan kesan buruk terhadap ekosistem, kesihatan dan ekonomi,” ujarnya.
Sejak 2019, The Ocean Cleanup mengumumkan inisiatif Interceptor untuk saluran air tercemar di pelbagai negara seluruh dunia termasuk Indonesia, Republik Dominica, Vietnam, Amerika Syarikat, Jamaica dan Thailand.
Sementara itu, Coldplay bakal mementaskan konsert dalam siri jelajah, Music Of The Spheres World Tour (MOTSWT) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 November depan.
Berikutan itu, tajaan dipercayai membuatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan kedatangan mereka ke Malaysia.
Ciapan Perdana Menteri disambut baik peminat yang tidak sabar menantikan konsert pertama kumpulan yang diasaskan di London, United Kingdom (UK) pada 1997 itu di Malaysia.
Sejak Coldplay mengumumkan Malaysia menjadi sebahagian daripada negara persinggahan untuk menjayakan konsert jelajah dunia, rata-rata peminat tempatan berkongsi kegembiraan dan masing-masing mahu mendapatkan tiket.
Selain Malaysia yang menjadi pilihan, Coldplay dijangka beraksi di beberapa negara lain iaitu Jepun pada 6 November dan 7 November) disusuli Taiwan (11 November); Indonesia (15 November) dan Australia (18 November).
Siri jelajah dunia Coldplay bermula sejak Mac tahun lalu. Band yang terkenal dengan rangkaian lagu popular Paradise, The Scientist, Fix You dan Yellow, My Universe, Hymn for the Weekend, Viva La Vida, banyak meraih anugerah antarabangsa.
Antara trofi diterima Favourite Touring Artist oleh Anugerah AMA pada 2022 dan Tour of the Year 2023 pada Anugerah iHeartRadio, baru-baru ini.
Coldplay meneruskan siri jelajah dunia, bulan ini di Sepanyol, UK, Itali, Denmark, Belanda dan Amerika Syarikat (AS) sehingga Oktober sebelum meneruskan siri jelajah di Asia dan Australia.
Tiket konsert Coldplay di Kuala Lumpur akan mula dijual pada 17 Mei ini bermula 10 pagi di www.livenation.my. – nasionalkini.my