KUALA LUMPUR, 20 April – Global Peace Mission Malaysia (GPM) menggesa dua pihak iaitu Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), yang mencetuskan pergolakan politik serta menggugat keselamatan di negara itu supaya melaksanakan gencatan senjata dan rundingan secara damai.
Ketua Pegawai Eksekutif GPM Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, langkah penyelesaian wajar diambil berikutan situasi sekarang yang pastinya akan menyebabkan kesan buruk dan kematian lebih ramai lagi masyarakat awam termasuk kanak-kanak yang tidak berdosa.
“GPM menyatakan kebimbangan berkaitan pertembungan yang berlaku di Khartoum, Sudan semenjak Sabtu yang lalu sehingga menyebabkan rakyat tidak bersalah menjadi mangsa keadaan.
“Sehingga kini kematian mencecah hampir 300 orang dan jumlah tersebut dijangka akan terus meningkat manakala lebih 3,000 yang lain cedera berdasarkan tekanan pertembungan yang semakin memuncak yang juga telah merebak ke beberapa kawasan yang lain.
GPM kesal kerana peperangan ini berlaku di dalam tempoh umat Islam di seluruh dunia termasuk penduduk majoriti di Sudan sedang berpuasa di bulan Ramadan dan menghampiri Syawal yang sepatutnya menjadi waktu yang paling gembira untuk diraikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, GPM menyeru pihak yang bertelagah segera melaksanakan gencatan senjata bagi mengelak keadaan lebih buruk berlaku dan menyebabkan kematian lebih ramai lagi masyarakat awam termasuk kanak-kanak yang tidak berdosa.
Ahmad Fahmi pada masa sama berharap situasi di Sudan tidak dimanipulasi oleh kuasa-kuasa besar dan juga mana-mana negara luar bagi tujuan dan objektif pengaruh masing-masing di negara tersebut.
Katanya tindakan berkenaan hanya akan menyebabkan rakyat Sudan menderita dan terus sengsara.
Berikutan situasi yang mencemaskan berlaku GPM telah berhubung dengan rakan kerjasama di Sudan untuk bersiap sedia dengan kemungkinan menghantar pasukan bantuan kemanusiaan bagi menangani impak daripada peperangan yang tercetus.
“Rakyat Malaysia yang prihatin boleh terus klik pada pautan pedulisudan.com atau pindahan sumbangan ke akaun Maybank Global Peace Mission : 564221611602 dengan rujukan #PeduliSudan,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Luar telah mengaktifkan ‘Operasi Sudan’ dengan pegawai bertugas 24 jam sehari sejak krisis tercetus di negara itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, operasi itu turut disertai beberapa agensi kerajaan lain bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di Sudan terpelihara. – nasionalkini.my