MAKKAH, 25 Jun – Pasukan keselamatan menumpaskan 83 kempen haji palsu dan mengarahkan kira-kira 160,000 jemaah yang ingin menunaikan haji tanpa permit supaya berpatah balik.
Berucap pada sidang media semalam, Pengarah Keselamatan Awam dan Ketua Jawatankuasa Keselamatan Haji, Leftenan Jeneral Mohammed Al-Bassami, berkata lebih 5,800 individu ditahan kerana melanggar peraturan termasuk mereka yang bekerja dan menetap di Makkah, dipetik dari Agensi.
Beliau menegaskan, pegawai keselamatan tidak berdepan sebarang cabaran dalam ibadat haji memandangkan mereka bersiapsiaga sepenuhnya dengan pemeriksaan dilakukan secara lebih intensif di lapangan.
Menurut Al-Bassami, pelan keselamatan yang diluluskan oleh Menteri Dalam Negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Haji, Putera Abdulaziz bin Saud untuk tahun ini adalah penting bagi kelancaran urusan haji.
“Pelan am untuk tugas dan tanggungjawab pegawai keselamatan awam bagi ibadat haji termasuk meningkatkan kesiapsiagaan sepenuhnya untuk menghadapi semua perkara.
“Ini termasuk pelanggaran keselamatan atau ketenteraman dan mencegah semua tindakan yang menjejaskan keselamatan serta keselamatan tetamu Allah SWT,” katanya.
Turut diperkukuhkan, pemeriksaan di lapangan untuk memastikan pemantauan semua kes dan tindak balas pantas terhadap kes kecemasan serta langkah pencegahan terhadap jenayah membabitkan penyeluk saku dan sebarang isu lain yang menjejaskan keselamatan jemaah haji.
Pengarah Keselamatan Awam berpandangan, anggota keselamatan menguruskan tugas memantau solat Jumaat dengan cekap, ia antara cabaran berikutan kehadiran paling ramai jemaah haji di Makkah, berbanding 26,000 jemaah yang kini berada di Madinah.
Beliau berkata, peningkatan kawalan keselamatan turut diperketat di pintu masuk Makkah bagi memastikan tiada jemaah haji tanpa permit yang lolos.
Komander Pasukan Kecemasan Khas di Presidensi Keselamatan Negara, Mejar Jeneral Mohammed Al-Amri, berkata di pihaknya, pasukan kecemasan bukan saja ditempatkan di Makkah, Madinah dan tempat suci sekitarnya, tetapi turut berada di semua lokasi untuk menjaga keselamatan awam.
Dalam pada itu, Komander Pasukan Pasport Umrah, Mejar Jeneral Saleh Al-Murabba, berkata pelan jabatannya lengkap dan teratur sepenuhnya.
Jelas beliau, 1,604,772 jemaah tiba untuk menunaikan ibadah haji, termasuk 238,708 jemaah yang berada di bawah inisiatif ‘Makkah Route’, bermatlamat memastikan pengalaman haji mereka menjadi lebih mudah. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN