KUALA LUMPUR 11 Mei – Kadar pengangguran pada Mac kekal 3.5 peratus berbanding Februari, dengan bilangan penganggur lebih rendah iaitu 588,700 berbanding 591,900 orang, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Pada bulan tersebut, bilangan tenaga buruh terus mengukuh sebanyak 0.2 peratus merekodkan 16.81 juta orang berbanding 16.78 juta orang pada Februari 2023.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kedudukan ekonomi yang optimis pada Mac 2023 membolehkan pasaran buruh negara terus berkembang dengan stabil.
Katanya, kadar penyertaan tenaga buruh pada Mac kekal 69.9 peratus (Februari 2023: 69.9 peratus).
“Kedudukan tenaga buruh yang semakin baik pada Mac didorong peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur terus menurun.
“Bilangan penduduk bekerja pada Mac 2023 menunjukkan trend menaik, dengan peningkatan 0.2 peratus kepada 16.22 juta orang (Februari 2023: 16.19 juta orang),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengenai kedudukan guna tenaga, daripada jumlah penduduk bekerja pada Mac 2023, 75.6 peratus adalah dalam kategori pekerja.
Kategori itu mencatatkan kenaikan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus merekodkan 12.26 juta orang (Februari 2023: 12.25 juta orang).
Pada masa sama, bilangan penduduk bekerja sendiri juga meningkat sebanyak 0.6 peratus kepada 2.91 juta orang (Februari 2023: 2.89 juta orang).
Menurut Mohd. Uzir, sektor perkhidmatan terus mencatatkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja terutama dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan & minuman; dan aktiviti pentadbiran & khidmat sokongan.
“Trend yang sama juga dilihat dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian,” katanya.
Data terkini DOSM itu turut menunjukkan pada Mac 2023, 80.3 peratus daripada jumlah penganggur adalah mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif.
Kategori itu turun sebanyak 0.6 peratus kepada 472,900 orang (Februari 2023: 475,500 orang).
Dalam kalangan penganggur aktif, 61.3 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 6.4 peratus adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.
Begitu juga, mereka yang percaya tiada pekerjaan yang tersedia atau penganggur tidak aktif, mencatatkan penurunan sebanyak 0.5 peratus kepada 115,800 orang berbanding Februari 2023 sebanyak 116,400 orang.
Pada Mac 2023, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun berkurang sebanyak 0.1 mata peratus kepada 11.2 peratus, merekodkan 317,300 penganggur belia (Februari 2023: 11.3 peratus, 320,800 orang). – nasionalkini.my