LONDON 11 Mei 2023 – KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima kunjungan bekas Perdana Menteri Britain David Cameron di Pavilion Antarabangsa Malaysia sempena Minggu Kraf London 2023 (LCW) semalam.
Antara kenamaan lain yang turut hadir ke pameran yang diadakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square semalam ialah Pengasas Berjaya Corporation Berhad dan Pemilik kelab bola sepak Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan.
Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan David Cameron dan Tan Sri Vincent serta para pengunjung pameran yang bertemakan “Abstract Nature” (Abstrak Alam Semula Jadi).
Pameran seni kraf dan produk warisan yang bermula Sabtu lepas sehingga 14 Mei memaparkan landskap budaya Malaysia yang kaya melalui keunikan tradisi kraf dan produk warisan masyarakat Malaysia khususnya Melayu, Orang Asli Semelai dari Pahang, Mah Meri (Selangor) di Semenanjung Malaysia serta suku kaum etnik Orang Asal di Sabah dan Sarawak.
Pameran edisi kedua Malaysia sempena Minggu Kraf London kali ini turut mengetengahkan Songket Terengganu dan telepuk (teknik menghias tekstil).
Penyertaan Malaysia dalam pameran itu diterajui Seri Paduka Baginda sebagai ketua delegasi Malaysia dan Yayasan Tenun Pahang Diraja serta disokong oleh Kerajaan Persekutuan (Kementerian Luar), Kerajaan Pahang dan Sarawak, Kraftangan Malaysia dan Songket Diraja Terengganu. – nasionalkini.my