KUALA LUMPUR, 9 Mei – Hartalega Holdings Bhd. mengambil keputusan sukar dengan menutup kilang pengeluarannya di Bestari Jaya, Selangor menjelang akhir tahun ini selepas beroperasi selama 19 tahun bagi membolehkannya terus berdaya tahan dalam pasaran yang semakin mencabar.
Ketika ini, kilang tersebut terdiri daripada empat kilang pengeluaran dengan 40 barisan pengeluaran, sebahagian daripadanya telah beroperasi sejak 2004.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat pengeluar sarung tangan getah itu bagaimanapun memberi jaminan memastikan pekerjanya dilayan secara adil susulan langkah berkenaan.
Ia memberitahu, syarikat telah melaksanakan langkah untuk menyokong pekerja terjejas, dengan tempoh kira-kira enam bulan lagi untuk penyahtauliahan ini selesai.
“Ini termasuk tetapi tidak terhad kepada peluang penempatan semula ke Kompleks Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Seterusnya (NGC) untuk peranan yang berkaitan, pakej pemberhentian yang kompetitif, berhubung dengan pekerja yang terjejas untuk menyediakan sokongan penempatan dalam tempoh enam bulan, meja bantuan sumber manusia (HR) untuk menangani sebarang kebimbangan dan pertanyaan pekerja serta bantuan HR dan kaunseling untuk pekerja terjejas,” katanya.
Kumpulan itu menjelaskan keputusan berkenaan dibuat dalam usaha mengukuhkan daya tahan perniagaan dan kemampanan jangka panjang, yang merupakan sebahagian daripada Pelan Strategik Lima Tahun syarikat.
Malah, kumpulan itu juga sedang melaksanakan satu siri langkah rasionalisasi operasi untuk meningkatkan daya saingnya berikutan landskap operasi semasa yang mencabar.
Mengambil kira faktor ini, syarikat akan menyahtauliah kemudahan Bestari Jaya dan menyatukan operasi di NGC di Sepang.
Menurutnya, adalah lebih strategik dan berdaya majuu ntuk menyatukan operasi di kemudahan NGC setelah mengambil kira persekitaran perniagaan yang kompetitif.
“Berbanding barisan pengeluaran tercanggih di kemudahan NGC, kemudahan Bestari Jaya adalah kurang cekap dan terbatas dengan penggunaan teknologi lama, serta menjana tenaga dan kos buruh yang lebih tinggi, di samping kos penyelenggaraan ebih tinggi disebabkan faktor usia kemudahan itu.
“Oleh itu, setelah penyahtauliahan ini selesai, kumpulan menjangkakan kos operasi dan susut nilai akan berkurangan sekali gus mampu memberi manfaat langsung pada keuntungannya,” jelasnya.
Susulan langkah penyahtauliahan ini, kumpulan dijangka mengiktiraf kerugian rosot nilai sebanyak RM347 juta untuk tahun kewangan 2023 (FY23).
“Peruntukan selanjutnya untuk kos pemberhentian dan perbelanjaan obligasi kontrak adalah sekitar RM70 juta untuk FY24,” katanya. – nasionalkini.my