in

FGV salur sumbangan untuk asnaf

Program Jalinan Mesra Saji Siri 2 dengan kerjasama PPZ-MAIWP dapat menyalurkan bantuan khusus buat golongan miskin bandar yang terkesan dengan kos sara hidup - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 2 Jun – FGV Holdings Berhad (FGV) menyalurkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM53,000 melibatkan kewangan kepada asnaf selain barangan bagi bank makanan masjid melalui Program Jalinan Mesra Saji Siri 2 dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Progam tersebut berlangsung di Masjid Saidina Hamzah Kampung Batu Muda di sini, semalam, yang mana PZZ-MAIWP melalui dana wakalah zakat FGV menyampaikan sumbangan kewangan RM450 berserta barangan FGV bernilai RM50 kepada 100 asnaf.

Dalam masa sama, FGV turut menyalurkan sumbangan barangan bagi bank makanan masjid sebanyak RM3,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor berkata, melalui program itu, FGV dapat menyalurkan bantuan khusus buat golongan miskin bandar yang terkesan dengan kos sara hidup yang semakin mencengkam.

“Justeru, kami bekerjasama dengan PZ-MAIWP dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam menyalurkan sebahagian daripada wakalah zakat FGV bagi tujuan murni ini.

“Usaha ini mencerminkan komitmen kami untuk membantu komuniti setempat terutamanya yang kurang berkemampuan di sekitar operasi perniagaan FGV,” katanya, lapor KOSMO.

Sementara itu, PPZ-MAIWP mengajak syarikat korporat tampil menunaikan zakat perniagaan serta menggalakkan potongan zakat dalam kalangan kakitangan bagi melayakkan untuk menerima Skim Wakalah.

Pembayar zakat turut dilindungi dengan Skim Kafalah Muzakki atau dikenali sebagai khairat kematian sehingga RM3,000. – nasionalkini.my

Young Tigers antara terbaik Asia

Biden tersungkur di pentas konvokesyen