NEW YORK, 3 Julai – Permodalan pasaran Apple Inc mencecah paras AS$3 trillion (RM14 trillion) buat kali pertama sejak Januari 2022, selepas pelabur menjangkakan pengeluar iPhone itu berupaya mengembangkan lagi pendapatannya ketika ia meneroka pasaran baharu termasuk realiti maya.
Saham Apple, yang juga syarikat senaraian awam paling bernilai di dunia, meningkat 1.3 peratus pada AS$191.99 dalam dagangan hujung minggu lalu, lapor Reuters.
Nilai pasaran Apple buat seketika melepasi AS$3 trilion dalam dagangan intra-hari pada 3 Januari 2022 sebelum mengakhiri sesi di bawah paras itu.
Peningkatan terkini saham Apple berlaku selepas sektor teknologi melonjak apabila Rizab Persekutuan (Fed) dijangka memperlahankan kenaikan kadar faedah selain keterujaan dalam kepintaran buatan.
Jualan iPhone yang lebih baik daripada jangkaan pada suku kedua dan pengenalan beberapa produk baharu, termasuk set kepala realiti terimbuh dipanggil Vision Pro pada Jun, menunjukkan daya tahan gergasi teknologi itu dalam keadaan ekonomi tidak menentu.
Ketika ini, empat lagi syarikat Amerika Syarikat (AS) mempunyai penilaian lebih AS$1 trilion iaitu Alphabet Inc, Microsoft Corp , Amazon.com Inc dan Nvidia Corp.
Saham Apple melonjak lebih 46 peratus tahun ini, manakala saham Tesla dan Meta Platforms meningkat lebih sekali ganda.
Hampir 180 peratus kenaikan saham Nvidia pada tahun ini membolehkan pengeluar cip itu menyertai kelab trilion dolar. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN