Oleh Mohammad Ishak
JERTIH, 20 Jun – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu, mengorak langkah melatih pelajar golongan asnaf dari universiti itu dalam bidang pertanian menerusi program Usahawan Agro Muda yang menjadi program contoh pembangunan usahawantani negara bagi menyokong keterjaminan makanan negara.
Timbalan Naib Cancelor UniSZA, Datuk Prof. Madya Dr. Mohd Hafiz Yusoff berkata, program yang pertama kalinya diadakan di UniSZA Kampus Cawangan Besut merupakan inisiatif Fakulti Biosumber dan Industri Makanan dengan kerjasama Fakulti Pengurusan Perniagaan.
Katanya, program dengan kerjasama Maybank Islamic- UniSZA Young Agrorepreneur (MIYA) dilaksanakan sejak 1 Ogos 2022 memberi fokus kepada pembinaan insan dalam aspek keusahawanan tani dalam kalangan pelajar asnaf universiti tersebut.
Beliau berkata, menerusi projek fasa pertama seramai 30 pelajar asnaf dari Fakulti Biosumber dan Industri Makanan, Informatik dan Komputeraan serta Pengajian KOntemporari Islam menyertai program berkenaan.
“Program MIYA ini merupakan satu platform yang disediakan oleh pihak UniSZA dan dibiayai oleh Maybank Islamic Berhad bagi melatih para pelajar asnaf untuk memilih kerjaya sebagai agropreneur setelah tamat pengajian di universiti,” katanya ketika pelancaran MIYA di Kampus UNizSA Cawangan Besut di Kampung Tembila,Besut, semalam.

Majlis pelancaran itu dilakukan oleh Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Nor Shahrizan Sulaiman selaku agensi penaja program tersebut.
Mohd Hafiz berkata, majoriti peserta yang mengambil bahagian adalah merupakan pelajar daripada Ijazah sarjana Muda Bioteknologi Pertanian dan Ijazah Sarjana Muda Perniagaantani.
“Para peserta MIYA ini diharapkan agar dapat menjadi ‘job creator’ bagi membantu negara dalam mengerakkan sektor ekonomi terutama bidang pertanian,”katanya.
Selain itu,katanya, sumbangan dana zakat oleh Maybank Islamic Berhad juga telah memberi manfaat kepada pihak UniSZA bagi meningkatkan kepakaran, profesionalisme dan pendidikan sepanjang hayat. – nasionalkini.my

