KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terpaksa mengubah tarikh penjualan tiket perlawanan bagi kejohanan Pestabola Merdeka 2023 yang akan berlangsung Oktober ini.
Perkembangan itu dimaklumkan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman yang mana penjualan tiket kejohanan terbabit yang sepatutnya dijual bermula Selasa lalu dianjak ke Rabu ini.
Beliau berkata, keputusan itu diambil berdasarkan perkembangan terbaharu yang mana majlis undian Pestabola Merdeka edisi ke-42 dijadual berlangsung Selasa ini.
“Tarikh baharu bagi penjualan tiket perlawanan itu diubah iaitu akan bermula pada Rabu ini di www.tickethotline.com.my,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor BH.
Pestabola Merdeka 2023 yang disertai empat pasukan dengan format secara kalah mati itu akan berlangsung pada 13 Oktober ini (dua perlawanan) dan 17 Oktober bagi penentuan tempat ketiga serta final.
Harga tiket untuk setiap hari perlawanan itu adalah RM40 bagi dewasa dan RM5 (kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun) bagi kategori terbuka, RM60 bagi kategori grandstand dan RM80 (kategori premium).
FAM bagaimanapun memperkenalkan tiket kombo yang mana penyokong Harimau Malaya berpeluang untuk membeli tiket bagi kedua-dua hari perlawanan (13 dan 17 Oktober) pada satu harga istimewa iaitu RM70 bagi kategori terbuka sahaja.
Tiket Kombo RM70 berkenaan akan dijual dalam tempoh terhad bermula 9 Ogos hingga 5 September ini di www.tickethotline.com.my.
Seterusnya, tiket kategori terbuka pada harga normal serta tiket kategori grandstand dan premium pula hanya akan dijual bermula 6 September ini.- nasionalkini.my