in

Bursa Malaysia catat aliran keluar asing buat minggu ke-4 sebanyak RM46.4 juta

WhatsApp Image 2023 05 15 at 11.36.34
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Pelabur asing kekal penjual bersih ekuiti tempatan buat minggu keempat berturut-turut dengan aliran keluar bersih berjumlah RM46.4 juta.

Bagi minggu berakhir 12 Mei itu, laporan aliran dana mingguan MIDF Research mendapati pelabur asing memulakan dagangan pada Isnin dengan positif menyaksikan pembelian ekuiti sebanyak RM9.5 juta diikuti RM81.8 juta pada Selasa.

Bagaimanapun, aliran keluar bersih asing mula direkodkan pada Rabu hingga Jumaat sebanyak RM137.6 juta.

Dalam tempoh 13 minggu, sebanyak RM2.18 bilion aliran keluar asing direkodkan daripada keseluruhan 19 minggu setakat tahun ini.

“Sektor yang mencatat aliran keluar asing paling tinggi ialah perkhidmatan kewangan sebanyak RM84.5 juta diikuti perkhidmatan dan produk perindustrian (RM32.6 juta) dan pembinaan (RM17.6 juta).

“Sementara itu, tiga sektor merekodkan aliran masuk asing paling tinggi iaitu telekomunikasi & media sebanyak RM62.9 juta, utiliti (RM26.4 juta) dan perladangan (RM12.1 juta),” katanya dalam laporan itu hari ini.

MIDF Research berkata, pelabur institusi pula kekal sebagai pembeli bersih ekuiti tempatan buat minggu ketiga berturut-turut sebanyak RM49.9 juta.

Didapati pelabur institusi tempatan membeli ekuiti setiap hari pada minggu lalu kecuali Selasa yang merekodkan aliran keluar sebanyak RM63.9 juta.

“Sebahagian besar aliran masuk direkodkan pada Jumaat berjumlah RM72.3 juta apabila Bank Negara Malaysia mengumumkan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik daripada jangkaan, berkembang 5.6% pada suku pertama 2023.

“Setakat ini, pelabur institusi tempatan merupakan pembeli bersih selama 14 minggu daripada 19 minggu keseluruhannya berjumlah RM2.09 bilion,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelabur runcit kekal menjadi penjual bersih ekuiti tempatan buat minggu kedua berturut-turut sebanyak RM3.6 juta.

Pada minggu lalu, penjualan ekuiti direkodkan setiap hari kecuali Rabu dan Khamis masing-masing sebanyak RM15.3 juta dan RM25.4 juta.

“Namun, pelabur runcit telah membeli ekuiti tempatan selama sembilan minggu daripada 19 minggu dengan aliran masuk sebanyak RM93.4 juta,” katanya.

Dari segi pergerakan pelabur, purata nilai dagangan harian meningkat (ADTV) bagi pelabur runcit meningkat 5.3% manakala pelabur institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing meningkat 16.2% dan 30.6%.

IMG 20230515 113042

Lagenda takraw, Adnan Saidin sudah tiada

20230515 123735

RM23 juta untuk naik taraf kemudahan awam di Johor