GLASGOW, 6 Ogos – Hasrat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk mara ke suku akhir acara pecut pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2023 di Glasgow, Scotland, tidak kesampaian selepas tersingkir pada pusingan kedua.
Azizulhasni, yang menentang pelumba Australia, Thomas Cornish pada saringan keempat tersingkir gara-gara tindakannya yang mahu memotong pesaing ketika perlumbaan berbaki separuh pusingan pada saingan berlangsung di Velodrom Sir Chris Hoy itu.
Sebaliknya Cornish diberi kemenangan.
“Selepas melepasi selekoh terakhir saya secara tidak sengaja termasuk sedikit ke bawah ke dalam line pihak lawan.
“Berbeza masuk atau menghimpit dengan sengaja, saya yang tersedar ketika hilang kawalan terus cepat-cepat keluar tanpa memberi apa-apa halangan dan membahayakan pihak lawan,” katanya di Instagram, lapor Bernama.

Walaupun pihak komisar pertandingan menerima hujah pihaknya bahawa beliau tidak sengaja dan tidak bersalah ketika perlumbaan, namun pemenang perak Sukan Olimpik 2020 tetap terkilan dengan keputusan mereka memilih mengekalkan pembatalannya.
Menurutnya, berdasarkan pengalaman lepas, pelumba kebiasannya diberikan amaran sahaja kerana ia bersifat tidak sengaja dan tidak membahayakan pihak lawan.
Bagaimanapun, bekas juara dunia itu tetap menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan mengucapkan selamat maju jaya kepada Cornish di peringkat seterusnya.
Justeru, beliau, yang memohon maaf susulan pembatalannya pada acara pecut, berazam memberi tumpuan sepenuhnya dalam acara kegemarannya iaitu keirin yang bermula Selasa ini.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN