KUANTAN, 6 Ogos – Seorang ibu sanggup tidak menjalani pemeriksaan kesihatan supaya dapat menjaga anak bongsunya yang menghidap kanser saraf tunjang sejak tiga tahun lalu.
Dayang Suhana Abdullah, 44, mengambil keputusan itu berikutan keadaan anak bongsu daripada lima beradik, Intan Nur Dayana Mat Jusoh, sembilan tahun atau dipanggil Dhia, yang perlukan perhatian sepenuh masa daripadanya.
“Saya sendiri pun ada benjolan pada leher, namun saya bimbang jika buat pemeriksaan (kesihatan) dan dikesan menghidap penyakit kanser limfoma, bagaimana pula dengan Dhia.
“Jadi saya fikir buat masa ini biarlah saya berkorban, saya tak sanggup nak biarkan Dhia yang perlu menjalani pelbagai rawatan, termasuk kimoterapi.
“Saya masih boleh bekerja dan sambil itu boleh terus jaga Dhia, lagipun Dhia cuma mahu saya yang menjaganya,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di pekan Sungai Lembing, dekat sini.
Buat masa ini Dayang Suhana berniaga roti canai di pekan Sungai Lembing antara dua atau tiga hari seminggu kerana perlu meluangkan masa menjaga Dhia.
Terdahulu, keluarga itu dikunjungi wakil Persatuan Ziarah Sahabat Kanser diketuai pengerusinya, Zaki Yahya.

Dalam kunjungan itu, persatuan berkenaan memberi sumbangan susu, lampin pakai buang dan pelbagai barangan keperluan asas lain kepada keluarga Dayang Suhana.
Dalam pada itu, Dayang Suhana memaklumkan sebelum ini anaknya itu seorang yang aktif sehinggalah mengadu sakit kaki hingga tidak boleh berjalan pada tahun 2021.
“Selepas seminggu berada di hospital, barulah penyakitnya dikesan.
“Doktor cakap Dhia yang ketika itu berusia enam tahun menghidap kanser saraf tunjang tahap tiga,” katanya lagi.
Dayang Suhana yang berniaga roti canai berkata, Dhia yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sungai Lembing sudah 10 kali menjalani kimoterapi.
“Sekarang Dhia sedang menjalani rawatan fisioterapi selain rawatan susulan lain di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur,” katanya.
Dayang Suhana berkata, dia membelanjakan kira-kira RM1,000 sebulan untuk kos penjagaan anak bongsunya itu.
“Mujurlah ada (dapat) bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pusat zakat Pahang, bolehlah ringankan sikit beban kami,” ujarnya.
Dia juga berharap ada pihak sudi menyumbang kerusi roda untuk anaknya itu.
Katanya, mereka yang ingin membantu keluarganya boleh menghubungi talian 011 29857822.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN