PEKAN, 21 Jun – Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan Program Kembara Prihatin di sini Masjid at-Taqwa yang melibatkan seramai 46 pelajar dalam memberi pendedahan buat pelajar untuk berbakti dengan masyarakat luar bandar.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMP, Datin Nur Sharmila Shaheen berkata, penglibatan pelajar bagi program kembara ini dapat menyantuni komuniti setempat di samping menyalurkan maklumat serta mempromosikan penjenamaan universiti.
“Ia juga selari dengan hasrat dalam mendekatkan universiti kepada komuniti dan slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’ agar kewujudan UMP dirasai dan manfaat kepakaran dinikmati penduduk setempat,” katanya.
Selain itu, program ini turut menyokong usaha UMP yang menjadikan aktiviti kesukarelawanan sebagai agenda penting dalam melahirkan pelajar yang terampil dan warga UMP yang prihatin.
Dalam program itu, pelajar dan komuniti setempat dapat menyertai pelbagai aktiviti bersama-sama antaranya kursus masakan, kursus gubahan, servis menukar minyak hitam dan gunting rambut secara percuma serta pemeriksaan kesihatan.
Turut berlangsung acara sukaneka, mewarna kanak-kanak, rewang memasak bubur daging dan agihan sumbangan Yayasan UMP kepada keluarga berkeperluan .
Hadir merasmikan program Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya, Datuk Mohd Nizar Najib dan Pengerusi Jawatankuasa Masjid at-Taqwa Pekan, Datuk Sri Wan Haji Abdul Wahid Wan Hassan. – nasionalkini.my