in ,

Tiada objek asing ditemui pada enjin pesawat nahas Elmina

19nt03jorun 1694764946
Foto terakhir mangsa nahas pesawat Beechcraft 390 Premier 1 di Elmina

KUALA LUMPUR, 15 Sept. – Laporan Awal Nahas Kemalangan Udara Elmina yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan (MOT), hari ini, menolak faktor enjin dan keadaan pesawat sebagai punca nahas membabitkan pesawat Hawker Beechcraft 390 Premier 1 pada 17 Ogos lalu.

Menurut laporan awal yang diterbitkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT), pada jam 10 pagi ini, tiada objek asing, bulu burung atau mana-mana bahan ditemui dalam komponen enjin kiri dan kanan pesawat Beechcraft 390 Premier 1.

Laporan awal nahas itu menyebut, enjin sebelah kanan pesawat itu terpecah kepada tiga segmen yang berbeza iaitu kipas; pemasangan sarung kipas dengan bilah Tekanan Perantaraan (IP) dan Alat Pemampat Tekanan Tinggi dan Bahagian Panas.

Siasatan juga mendapati alat penghidup, Unit Hidromekanikal (HMU) dan kotak gear semuanya sudah tercabut.

Bagaimanapun, Injap Tekanan Rendah (LP) masih kekal sebahagiannya pada kipas yang terpisah daripada enjin. Sisa-sisa pemutar masih ada di tempatnya manakala injap LP terpisah dan dilihat terpusing ke arah bertentangan daripada arah putaran asal.

Siasatan ke atas nahas yang mengorbankan 10 nyawa di Bandar Elmina Shah Alam pada 17 Ogos lalu itu dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) mengikut Annex 13 berdasarkan Konvensyen Chicago dan Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016.

Menurut laporan awal, pesawat berkenaan dikendalikan oleh Jet Valet Sdn Bhd yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (WMKL), menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Berdasarkan laporan awal, pesawat jenis Beechcraft Premier 1 itu mempunyai sijil kelayakan udara yang sah dan diselenggarakan mengikut peraturan.

Bagaimanapun, laporan awal menyatakan bahawa pesawat berkenaan tidak dapat diselamatkan kerana magnitud daya nyahpecutan (deceleration force) dan kebakaran selepas kemalangan.

Kejadian berlaku pada waktu siang dengan penglihatan yang jelas iaitu lebih 10 kilometer dan angin pada 05 knot serta keadaan meteorologi baik.

Laporan awal itu mendapati bahawa pesawat berkenaan dilengkapi dengan Perakam Suara Kokpit (CVR) L3Harris F2100 dan boleh merakam 30 minit data suara empat saluran berkualiti tinggi.

“Bagaimanapun, tiada Perakam Data (FDR) dipasang dalam pesawat. Selain daripada CVR, tidak ada perakam penerbangan atau mana-mana jenis penyimpanan memori media jenis tidak meruap (NVM) lain ditemui daripada serpihan pesawat.

Penyiasat juga berjaya mendapatkan gambaran mengenai apa yang mungkin berlaku terhadap pesawat itu berdasarkan rakaman audio yang diekstrak dari CVR pesawat berkenaan.

Bagaimanapun, penemuan itu hanya akan dikeluarkan dalam laporan siasatan penuh sementara menunggu pemeriksaan semua bukti fizikal.

Selain itu, serpihan utama pesawat ditemui kira-kira 73 meter dari hentaman pertama pesawat.

Menurut analisis visual dan lapangan, hujung sayap kanan pesawat itu menerima impak pertama diikuti oleh hidung pada tenaga tinggi.

Laporan awal itu, berkata tempoh pecutan yang pendek (0.1-0.5 saat) yang biasa berlaku pada perlanggaran tenaga tinggi akan menyebabkan kecederaan maut kepada penumpang pesawat.

Daya impak pada tahap itu, diikuti corak perlanggaran dan magnitud adalah di luar had toleransi manusia yang menunjukkan bahawa ini bukan kemalangan yang boleh diselamatkan.

Laporan awal juga menyatakan bahawa pesawat itu sudah menghubungi menara kawalan untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada jam 2.47 petang.

Seminit kemudian, pada jam 2.48 petang, kebenaran untuk mendarat di landasan 15 diberikan dan dalam beberapa saat pesawat menerima maklum balas berkenaan.

Bagaimanapun, selepas itu dilaporkan tiada transmisi radio kedengaran dari penerbangan berkenaan.

Berdasarkan laporan awal itu, data mendapati pada jam 2.47 petang, pada ketinggian 2,600 kaki, pesawat itu berdepan pengurangan kelajuan dan penurunan.

Dalam tempoh dua minit iaitu pada jam 2.49 petang, pada ketinggian 1,025 kaki, pesawat itu mula membelok ke kanan dan berterusan hingga berada pada ketinggian 550 kaki saja.

Itu adalah penghantaran data terakhir direkodkan dan dilaporkan juga kelajuan tanah semasa pusingan kanan pesawat itu antara 146 dan 154 knot.

Akibat nahas itu, berlaku kebakaran besar dan pasukan siasatan forensik hanya boleh bertindak selepas kawasan itu diisytiharkan selamat.

Sebaik selamat memasuki kawasan nahas, pasukan siasatan forensik mula mencari kedudukan badan dan tisu biologi untuk ditandakan sebelum dibawa keluar.

Bagaimanapun, pasukan itu mengambil masa selama dua hari bagi mengumpulkan semua bahagian badan dan tisu biologi di tapak nahas berikutan pencahayaan yang kurang baik pada waktu malam.

Selepas berjaya mengumpul semua tisu biologi, ia dibawa ke Jabatan Forensik Perubatan, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk pengecaman lanjut dan bedah siasat.

10 mangsa terkorban termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Datuk Seri Johari Harun, 53. – nasionalkini.my

UMPSA sekali lagi bakal tawan Gunung Kinabalu

379053440 703583121803694 4838694249431851457 n

2,284 kes demam denggi, dua kematian