in

PPD Gombak raih naib juara pertandingan kebudayaan di Bulgaria

IMG 20230525 131840 6 x 4 inch
Sebahagian sijil penghargaan, trofi dan medal dimenangi Kumpulan Kebudayaan PPD Gombak dalam pertandingan World Cup of Folklore Veliko Tarnovo, Bulgaria 2023 baru-baru ini - Gambar dari Facebook

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Kumpulan Kebudayaan Gombak, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gombak berjaya mengungguli pentas dunia apabila dinobatkan sebagai naib johan VIII World Cup of Folklore Veliko Tarnovo, Bulgaria 2023.

Pertandingan yang diadakan pada 11 hingga 15 Mei lalu itu dikelolakan oleh European Association of Folklore Festivals dan disertai oleh 152 kumpulan dari serata dunia.

Menerusi pertandingan itu, mereka berjaya meraih emas dalam ketiga-tiga kategori yang disertai iaitu Folklore Ensembles (campuran), process performance dengan persembahan Nirmala; Folklore Dance, Authentic Folklore, dengan mempersembahkan Tarian Magunatip, Tarian Piring, Tarian Sewang dan Kolattam serta Folklore Dance, Modern Choreography dengan persembahan Tarian Joget Gamelan.

Antara kejayaan lain yang dicapai, Grand Prix Award, Diploma High Quality of Presentation dan Diploma of Participation, lapor BH.

Kumpulan Kebudayaan Gombak terdiri daripada 42 orang termasuk 10 pegawai dan guru pengiring, 10 guru dan 21 murid dan seorang wakil daripada ibu bapa.

Kesemua murid dan guru adalah dari 11 sekolah di bawah seliaan PPD Gombak, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati, SMK Seri Gombak, SMK Seri Keramat, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rawang Jaya, SK Taman Melawati, SK Kuala Ampang, SK Selayang Utama, SK Bandar Baru Selayang 2, SK Seri Kundang, SK Sungai Buloh dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Bukit Darah.

Turut serta, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembangunan Murid, PPD Gombak, Dr Abdul Aziz Ismail sebagai ketua kontinjen dan koreografer dari SK Sungai Buloh, Abdul Razak Abdul Hamid.

Dengan kejayaan itu, ia secara tidak langsung memperlihatkan hasil usaha gigih Kumpulan Kebudayaan Gombak terhadap persembahan tradisional bagi mendapatkan pengiktirafan antarabangsa. – nasionalkini.my

20230511 101730

Bekas hakim, polis didakwa terima rasuah

IMG 20230525 141641 6 x 4 inch

Tiada kes jual sijil libatkan IPTS – KPT