KUANTAN, 2 Jun – Isu lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) boleh diselesaikan jika kerajaan benar-benar mengamalkan tatakelola yang betul.
Ini kerana isu PATI sudah terlalu lama dibiarkan tanpa penguatkuasaan bersungguh-sungguh oleh pihak berkuasa.

Timbalan Presiden Persatuan Rangkaian Muslim Inovasi Malaysia (MINM), Dr Abdul Rasid Md Ali, berkata setiap agensi bertanggungjawab dalam hal berkaitan pendatang asing perlu memiliki integriti yang tinggi.
“Masalah payah selesai jika ada pasukan penguat kuasa yang korup… yang sudah biasa ‘makan suap’ hingga membiarkan pencerobohan tanpa izin terus berlaku,” katanya.
Dia juga berpendapat masalah kebanjiran PATI adalah berpunca daripada isu dokumentasi yang mempunyai ruang untuk dimanipulasi oleh sindiket tertentu.
“Kalau isu dokumentasi tak wujud, bagaimana pula dengan warga asing yang masuk untuk bekerja di ladang sawit, tapi akhirnya jadi buruh binaan atau buka kebun sayur atau ambil kontrak binaan sendiri.
“Ada juga pendatang asing wanita yang masuk untuk bekerja sebagai pembantu rumah, tapi jadi pelayan pelanggan.
“Itu cuma dua contoh kelemahan penguatkuasaan dan dokumentasi… mungkin ada banyak lagi yang kita tak tahu,” katanya.

Dr Abdul Rasid mencadangkan supaya kerajaan mengambil langkah segera dengan mengurangkan dan menghentikan terus pengambilan pekerja asing buat sementara waktu.
“Apabila pekerja asing sedia ada dalam negara sudah balik kampung masing-masing… bila mereka dah tamat tempoh dibenarkan bekerja, barulah bawa tenaga kerja baru.
“Itu pun kalau negara kita masih memerlukan bantuan pekerja dari negara luar,” tegasnya. – nasionalkini.my