Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 2 Julai – Sungai Melaka Fasa 2 sepanjang hampir lima kilometer akan dipromosikan sebagai pusat latihan sukan air di negeri ini menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) tahun hadapan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan itu sudah dikemukakan kepada Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) sebelum ini.
“Saya dah minta PPSPM berikan jadual dan waktu tarikh tertentu untuk dijadikan aktiviti riadah dan latihan (sukan air) di Fasa 2 kerana Fasa 1 kita sudah ada laluan bot pelancongan Melaka River Cruise (MRC).
“Di Fasa 2 ini kita akan buat promosi, satu tarikan baharu dengan memberikan ruang kepada peminat sukan seperti Persatuan Perahu Naga dan kanu sebagai tempat latihan dan riadah mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan pelepasan 30 peserta Perlumbaan Perahu Naga 2023 Sempena Pesta Duanwu 2023 di Pengkalan Rama, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, perlumbaan itu adalah perayaan tradisional masyarakat Cina sempena Pesta Duanwu yang turut dikategorikan dalam subsektor pelancongan sukan Melaka.
“Subsektor ini juga penting sebagai antara cara kita mengekalkan warisan sukan tradisi supaya dapat diwarisi generasi hadapan selain dapat mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan yang wajib dilawati.
“Industri pelancongan di Melaka akan terus diperhebatkan sekali gus dapat mengembangkan lagi sektor ekonomi negeri,” katanya. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN