Aliah Ramli
KAJANG, 12 Julai – Penduduk Alam Sari di sini tertekan selepas berdepan isu kesesakan trafik yang teruk pada waktu puncak sejak laluan Serene Height-Alam Sari dibuka, sejak setahun lalu.
Pengerusi Gabungan Persatuan Penduduk Alam Sari, Datuk Fadzilah Mohd Salleh berkata, pembukaan jalan tersebut telah menyebabkan peningkatan kenderaan secara mendadak dari kawasan Semenyih yang menggunakan laluan itu sebagai laluan pintas untuk ke Bandar Baru Bangi dan Kajang.

Katanya, ketika waktu puncak, mereka terpaksa menempuh kesesakan selama hampir 40 minit berbanding hanya tiga minit sebelum ini untuk keluar dari Alam Sari ke Jalan Reko.
“Dua titik utama kesesakan ialah di persimpangan lampu isyarat German-Malaysia Institute (GMI) dan di persimpangan terowong di Kampung Sungai Tangkas berhampiran Stesen KTM UKM.
“Kesesakan berlaku pada waktu bekerja dari jam 6.30 pagi hingga 8.30 pagi dan 5.30 petang hingga 7.30 petang,” katanya.
Susulan itu, persatuan penduduk telah mengadakan pertemuan dengan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) pada 8 Disember lepas yang turut dihadiri Ahli Parlimen Bangi, Ahli Majlis MPKJ dan wakil pemaju bagi membincangkan perkara itu.
“Dalam pertemuan tersebut, kesemua pihak bersetuju penyelesaian kepada masalah ini dengan membina jalan alternatif keluar masuk ke Alam Sari dari Jalan Reko yang akan bersambung dengan jambatan GMI.
“Namun, MPKj kemudian memaklumkan jalan tersebut tidak dapat dilaksanakan pada masa ini kerana lokasi yang dicadangkan berdekatan susur projek Lebuh raya Putrajaya – Bangi (PBE) ,” katanya.
Pihaknya turut mengemukakan beberapa cadangan jangka pendek bagi mengurangkan isu kesesakan antaranya melebarkan jalan dan menambah lorong di persimpangan lampu isyarat GMI serta terowong Stesen KTM UKM.
Justeru, beliau menggesa MPKJ melaksanakan langkah jangka pendek bagi mengurangkan masalah kesesakan di sana. – nasionalkini.my